Cerpen

Cerpen: Jangan Lari! (Siri 1)

(Ting Tong!)

Jarum jam di dinding tepat menunjuk pada angka12 malam. Jari runcing Khaulah masih rancak menari-nari di atas papan kekunci komputer ribanya. Matanya mula berpinar, skrin komputernya bagaikan meminta agar tuannya memberinya waktu untuk beradu. Sudah sehari suntuk dirinya dipijak-pijak oleh jari si gadis berjiwa besar itu.

‘Astagfirullahal ‘azimmm…’ Khaulah beristighfar panjang setelah menguap untuk keberapa puluh kali, sudah tidak mampu dibilang.

“Khaulah! Kau jangan tidur selagi tidak siap kertas kerja ini! Kalau kau sayangkan Islam, kau jangan manjakan diri kau!” jerit Khaulah tertahan-tahan memberi amaran kepada dirinya sendiri. Iyalah, takkan mahu jerit betul-betul sekuat suara, mahu dimaki orang pagi-pagi ini. Itulah cara gadis besi ini memberi semangat kepada rohnya yang sering dibaluti bisikan nafsu. Perilaku gadis ini sudah diketahui oleh rakan-rakannya.

“Kau ni marah kat aku ke Khaulah?” soalan yang sering ditanya oleh sahabat-sahabatnya apabila saat menggilanya datang.

“Eh tak la, aku marah pada diri aku la,” jawab Khaulah ringkas, sambil mempamerkan muka 20sen nya.
“Dah tu, kenapa yang kau jerit macam tu? Nampak marah benar, bisik dalam hati sudah la,” bantah sahabatnya tentang perilaku pelik Khaulah itu.

“Kena la jerit kuat-kuat, ini pun tak kuat tau, tahan-tahan lagi, kalau aku bisik dalam hati, hati je yang dengar. Risau pula hati ni tersumbat, nanti tak sampai pula pada roh, jadi makin malas ,” celoteh Khaulah bersama loyar buruknya yang berisi itu, biasanya memang akan menyentapkan jiwa-jiwa yang mendengar.


“Khaulah, esok awak wajib turun program ziarah muslimat ya. Makcik-makcik ni bukan kuat sangat nak angkat beras berpuluh kilo tu, tulang kami dah reput. Harapkan kudrat anak muda saja,” pesan Bonda Sofiah selaku Ketua Muslimat Cawangan.

“InsyaAllah bonda, jika Allah masih beri peluang bernafas, esok saya turun ye,” balas Khaulah bersemangat disulami senyuman. Itulah kelemahan si gadis polos ini, perkataan ‘tidak’ seperti sudah hilang dari kamus hidupnya jika diminta memberi sebarang pertolongan.

“Khaulah, Pakcik Mat nak minta tolong taipkan surat untuk jemputan program pemuda ni boleh? Mata pakcik dah kelabu ni… Baru bulan lepas buat pembedahan buang katarak,” Dengan rasa bersalah, Pakcik Mat menyuarakan isi hatinya untuk mendapat bantuan gadis itu.

Pak Cik Mat merupakan wakil AJK kampungnya. Semangat Pakcik Mat dalam meneruskan legasi dakwah ini masih membara walaupun usianya sudah hampir menjangkau 70-an. Dia begitu gembira jika bertemu dengan pemuda-pemudi dalam sesebuah program. Baginya, semangatnya akan berputik semula apabila melihat wajah-wajah belia remaja yang bakal menjadi pelapis dalam kerja-kerja dakwah ini.

Kagum bercampur sebak perasaan Khaulah apabila terkenangkan wajah warga emas yang masih lagi istiqomah di medan amal ini. Perkara yang memilukan lagi hatinya adalah apabila melihat sikap segelintir anak muda yang masih bersuka-ria diluar sana tanpa rasa bersalah sedikit pun tidak menyumbang apa-apa untuk mendaulatkan islam.

Semakin hari racun barat dan budaya hedonisme semakin meresap sebati ke dalam diri anak muda. Cabaran untuk mencorakkan diri anak muda dengan acuan ajaran Islam yang sebenar bertambah sukar seiring perjalanan masa. Khaulah teringat kata-kata Pak Soekarno, “Berikan aku 10 orang pemuda, akan ku goncang dunia ini,” Tetapi masih relevankah kata-kata itu jika diaplikasikan di zaman yang semakin tenat ini?

Anak muda bukan lagi menjadi agen penyebaran dakwah seperti dahulu kala, malah banyak dikalangan anak muda menjadi agen puak barat dalam menghancurkan kesucian agama Islam sendiri. Sedikit demi sedikit jarum Yahudi disuntik dalam sehingga tercabut pegangan akidah dalam jati diri umat Islam. Tanpa disedari, puak kafir telah lama mengisytiharkan perang saraf kepada umat Islam, cuma kita yang masih alpa.


“Khaulah, mana kawan-kawan kamu yang lain? Pakcik tengok, kamu saja yang selalu datang program sekarang. Ajaklah mereka sama,” Besar harapan Pakcik Mat untuk melihat ramai lagi anak muda yang menerajui kerja dakwah ini sebelum dia menutup mata.

“Err… Dah ajak Pak Mat, tapi masing-masing ada komitmen masing-masing, InsyaAllah ada rezeki mereka turun ya,” Seperti biasa, Khaulah kuat menutup pekung didada.

Jika ada sebarang program yang dia boleh hadiri, Khaulah memang tidak pernah lupa untuk membuat sebaran melalui Whatsapp dan Facebook, berkongsi berita. Ada yang dia siap mesej personal lagi sahabat-sahabatnya itu, tapi hasilnya selalunya mendukacitakan. Pelbagai alasan yang diperolehi. Tetapi dia sentiasa cuba berhusnodzon dengan sahabat-sahabatnya.

Tipu sekiranya dikatakan jalan dakwah ini manis, tidak dihampar pelbagai ujian dan halangan, tetapi jika diri sendiri tidak berusaha menghadapi ujian itu, sampai bila pun kita tidak akan jumpa jalan penyelesaiannya.

“Alia, kau ada jumpa Saifuddin tak di kampung? Aku dengar cerita, dia sudah tukar tempat kerja ke sini,” Tanya Khaulah kepada sahabat karibnya.

“Haritu aku terserempak dia di kedai runcit Pak Leman, dia ada tegur aku, aku ada juga buka cerita tentang program hujung minggu ni… Tapi pelik sikit, sebab bila dengar aku sebut pasal program tu, air muka dia macam berubah weh, terus dia minta diri,” Alia bercerita dengan penuh semangat. Berkerut dahinya memikirkan perubahan Saifuddin yang merupakan sahabat ketika dia belajar di universiti dahulu itu.

Wajah Khaulah kelihatan mendung apabila teringatkan sahabat seperjuangannya yang berada sekapal dengannya suatu ketika dahulu itu. Sedikit demi sedikit melarikan diri daripada bahtera perjuangan. Nakhoda kapal yang hebat sudah tumbang dikalahkan arus ombak yang semakin mengganas.

bersambung….

No Comments

    Leave a Reply