Pada 10 Januari 2024, Mahkamah Rayuan telah membatalkan pengislaman ketiga-tiga anak Loh Siew Hong sekaligus mengenepikan keputusan Mahkamah Tinggi sebelumnya. Panel tiga orang Hakim Mahkamah Rayuan memberikan alasan bahawa Hakim Mahkamah Tinggi sebelum ini telah terkhilaf apabila gagal mengambil kira dua isu utama. Hakim Datuk Hadhariah berkata kegagalan untuk menjawab dua isu ini adalah satu salah arah yang jelas menjurus kepada kesilapan dalam undang-undang berhubung isu tukar agama secara unilateral.
Panel-panel hakim memutuskan demikian kerana rayuan ibu tunggal, Siew Hong terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang mengekalkan status Islam tiga anak mereka yang ditukar agamanya oleh bekas suaminya, M. Nagahswaran atau nama Islamnya, Muhammad Nagashwaran Muniandy tanpa persetujuannya.
Pada 11 Mei 2023, Hakim Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh memutuskan pengislaman ketiga-tiga anak tersebut selepas mendapati ketiga-tiga anak Siew Hong masih mengamalkan ajaran Islam seperti menunaikan solat walaupun berada dalam jagaan ibu mereka. Mahkamah Tinggi tidak menyentuh dua isu termasuk sama ada penukaran agama anak-anak tersebut secara unilateral adalah sah ketika prosiding semakan kehakiman. Kedua, Seksyen 117(b) Enakmen Perlis tidak berperlembagaan kerana bercanggah dengan Perkara 12(4)
Perlembagaan Persekutuan.
Perkataan ‘ibu bapa’ dalam Seksyen 117(b) telah ditukar kepada ‘ibu atau bapa’ oleh Dun Perlis sebelum ini. Ini rentetan daripada kes sebelum ini, kes Subashini lwn Saravanan pada tahun 2007 yang memutuskan bahawa Perkara 12(4) dalam Perlembagaan Persekutuan membenarkan kanak-kanak ditukar agama dengan kebenaran seorang ibu atau bapa. Pengislaman tiga kanak-kanak yang didakwa dilakukan secara unilateral (sebelah pihak) dan tanpa kebenaran daripada ibu tunggal, Siew Hong tidak melanggar mana-mana peruntukan
undang-undang.
Peguam yang mewakili Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Mohamed Haniff Khatri Abdullah mengatakan penggunaan keputusan kes Indira Gandhi dalam permohonan semakan kehakiman Siew Hong selaku pemohon adalah tidak tepat kerana terdapat perbezaan ketara di antara kedua-dua kes.
Kes Loh Siew Hong merupakan antara isu “unilateral conversion” yang mendapat perhatian masyarakat khususnya badan-badan berautoriti agama dalam negara. Kes ini melibatkan pengislaman secara sepihak (unilateral) tiga orang anak, dua daripada kembar perempuan berusia 16 tahun dan lelaki 13 tahun oleh ayah mereka yang telah memeluk agama Islam.
Pengislaman kanak-kanak tadi secara asasnya sejajar dengan Seksyen 117 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Perlis) 2006 yang memperuntukkan bahawa hanya kebenaran sepihak (ibu atau bapa) diperlukan untuk menukar agama anak mereka kepada Islam. Walau bagaimanapun, keputusan kes Indira Gandi Mutho v Pengarah Jabatan Agama Islam Perak & Ors pada 2018 memutuskan sebaliknya. Kes tersebut menjelaskan bahawa penukaran agama anakanak perlu mendapatkan kebenaran kedua-dua pihak ibu dan bapa bagi pengislaman anak-anak di bawah umur. Ini juga bermaksud tafsiran ‘parent’ dalam Perkara 12(4) Perlembagaan
Persekutuan menjuruskan kepada ibu dan bapa.
Kes Indira Gandhi (2018) ini telah menjadi ‘precedent’ (duluan) yang mengikat penyelesaian pertikaian terhadap pengislaman anak-anak di bawah umur bagi pasangan yang berkahwin di bawah Akta 164 khususnya apabila salah seorang daripada pasangan terbabit memeluk Islam.
‘Precedent’ daripada kes Indira Gandhi ini juga menimbulkan persoalan terhadap status enakmen pentadbiran Islam di beberapa negeri yang masih mengekalkan peruntukan pengislaman secara sepihak.
Oleh yang demikian, kes-kes sebegini memerlukan penyelesaian jangka masa panjang. Usaha mengharmonisasi undang-undang sivil dan syariah memerlukan kehendak politik yang tinggi serta penyelesaian yang tuntas.
Apa yang lebih membimbangkan adalah soal akidah kanak-kanak tadi yang terpaksa digadaikan oleh sebab kelompongan undang-udang sedia ada.
Perkara ini memerlukan perhatian yang serius oleh pelbagai pihak yang berkepentingan dalam menangani jurang yang ada. Jika tidak ia akan memberikan kesan yang berpanjangan kepada institusi kekeluargaan malah keabsahan undang-undang syariah negeri juga boleh dipertikai.
Syatirah Badri

No Comments