Agama / Pembangunan Diri

Sebaik-baik Manusia Adalah Yang Paling Bemanfaat kepada Orang Lain

خير الناس أنفعهم للناس

Semasa bersembang dengan seorang rakan sepejabat, teringat sebuah hadis Nabi SAW di atas yang sangat mengesankan. Sabda Nabi Muhammad SAW di atas yang bermaksud: “Sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat bagi orang lain” (HR. Ahmad, Thabrani, dan Daruqutni).

Dalam kehidupan yang serba kompleks ini, salah satu nilai yang paling mulia adalah kemampuan untuk memberikan manfaat kepada orang lain. Sabda Nabi SAdi atas mengajar umatnya bersifat demikian. Oleh itu, pengesyoran Nabi Saw ini tidaklah sepatutnya hanya menjadi nasihat biasa-biasa, tetapi perlu menjadi prinsip seorang muslim kerana ia boleh memandu manusia menuju kehidupan yang lebih bermakna dan harmoni di dunia dan di akhirat.

Secara mudahnya, makna bermanfaat bagi orang lain adalah memberi sumbangan atau pertolongan yang positif dalam kehidupan manusia. Ini boleh berlaku dalam bentuk bantuan fizikal, dorongan emosional, atau memberikan inspirasi kepada manusia melalui contoh yang baik.

Bantuan tersebut tidak diukur pada saiznya besar atau kecil. Kadang-kadang tindakan atau bantuan yang kecil dan sederhana, tetapi kesannya sangatlah signifikan kepada manusia. Contohnya, membantu rakan sepejabat atau jiran tetangga yang memerlukan, atau sekurang-kurang melontarkan sebuah senyuman kepada seseorang yang sedang dalam kesedihan, atau mendengarkan dengan penuh perhatian luahan cerita seorang teman yang bermasalah.

Islam sangat menekan pentingnya membantu membantu sesama manusia. Ini adalah kerana sifat ini, selain memberikan kesan positif kepada orang lain, ia juga bermanfaat bagi diri sendiri. Kajian menunjukkan bahawa orang yang suka membantu orang lain lebih cenderung memiliki tahap kebahagiaan yang lebih tinggi. Kerana tindakan membantu dapat meningkatkan rasa percaya diri, memberikan makna hidup, dan mengurangi tekanan. Selain itu, dengan membantu orang lain, seseorang juga dapat memperluas jaringan sosialnya, yang akan memberi faedah pada dirinya ketika ia memerlukannya.

Ada berbagai cara untuk menjadi orang yang bermanfaat bagi orang lain seperti yang disabdakan Nabi SAW . Antaranya adalah menyebarkan ilmu pengetahuan yang berguna. Jika anda memiliki pengetahuan atau kemahiran tertentu, sharekan kepada orang lain. Mengajar atau memberikan latihan yang dapat membuka peluang dan memberikan motivasi kepada orang lain untuk meningkatkan hidup mereka.

Dorongan emosional yang diberikan dalam suasana seorang mengalami tekanan juga salah satu bentuk manafaat kepada manusia. Mendengar masalah seseorang dengan simpati dan memberikan sokongan moral, boleh menjadi sangat berarti kepada seseorang. Kehadiran kita di saat orang lain memerlukan dapat memberikan kekuatan dan semangat baru kepada mereka.
Jika anda memiliki rezeki lebih, berbagilah dengan mereka yang kurang beruntung boleh menjadi salah satu bentuk manafaat yang sangat besar. Ini boleh dilakukan melalui derma terus atau dalam bentuk membiayai program-program kemasyarakatan atau dakwah.

Menjadi manusia yang bermanfaat adalah pilihan terbaik kepada setiap muslim. Kerana setiap tindakan kebaikan, kita tidak hanya memperbaiki kehidupan orang lain, tetapi juga menyemai rasa kemanusiaan dalam diri kita. Dalam dunia yang sering kali dipenuhi dengan halangan dan kesulitan, menjadi sumber kebaikan dan manfaat bagi orang lain adalah bentuk sumbangan paling bermakna terhadap manusia. Kerana, sebaik-baik manusia adalah yang bermanfaat kepada orang lain, dan melalui manafaat itulah kita menrasai kepuasan dan kebahagiaan.

About Author

Ustazah Fadhlina merupakan tenaga pengajar tauliah MAIK Kelantan. Beliau juga salah seorang Penerbit Rancangan Radio Klate Kita, Radio Digital Online dan antara penulis sukaralewan di bawah Jabatan Informasi dan Teknologi Maklumat Dewan Muslimat PAS Malaysia.

No Comments

    Leave a Reply