Solat Tahajjud adalah solat malam yang dilaksanakan setelah bangun tidur, afdhalnya dibuat secara bersendirian waktu selepas tengah malam. Solat sunat ini amat dituntut dan sangat baik dilakukan sebagai ibadah tambahan. Rasulullah SAW dan para sahabat tidak pernah meninggalkan solat ini sepanjang hayat mereka.
Firman Allah SWT:
وَمِنَ اللَّيْلِ فَتَهَجَّدْ بِهِ نَافِلَةً لَّكَ عَسَىٰ أَن يَبْعَثَكَ رَبُّكَ مَقَامًا مَّحْمُودًا
Maksudnya: Dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam serta kerjakanlah “sembahyang tahajjud” padanya, sebagai sembahyang tambahan bagimu; semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkanmu pada hari akhirat di tempat yang terpuji. [Al-Isra:79]
Allah SWT menjanjikan 4 perkara bagi orang yang tahajud:
- Allah SWT akan mengangkat kerjayanya di tempat yang terbaik.
- Allah SWT bimbing semua urusannya sehingga jadi lebih mudah.
- Allah SWT bimbing setiap kali dia punya masalah supaya mendapatkan penyelesaian terbaik.
- Allah SWT akan lindungi dia apabila ada orang yang hendak mencelakakan atau berniat buruk terhadapnya.
Antara doa yang diamalkan oleh Rasulullah SAW selepas solat Tahajud ialah:
اللَّهُمَّ اجْعَلْ فِي قَلْبِي نُورًا وَفِي لِسَانِي نُورًا وَاجْعَلْ فِي سَمْعِي نُورًا وَاجْعَلْ فِي بَصَرِي نُورًا وَاجْعَلْ مِنْ خَلْفِي نُورًا وَمِنْ أَمَامِي نُورًا وَاجْعَلْ مِنْ فَوْقِي نُورًا وَمِنْ تَحْتِي نُورًا اللَّهُمَّ أَعْطِنِي نُورًا
“Ya Allah, jadikanlah di dalam hatiku cahaya dan di dalam lisanku (juga) cahaya. Jadikanlah di dalam pendengaranku cahaya dan di dalam penglihatanku (juga) cahaya. Jadikanlah dari belakangku cahaya dan dari depanku (juga) cahaya. Jadikanlan dari atasku cahaya dan dari bawahku (juga) cahaya. Ya Allah, berilah aku cahaya.” [HR Bukhari Muslim]
Kesimpulannya, jika kita benar-benar ikhlas kepada Allah SWT dengan istiqomah mendirikan solat Tahajud, hati akan menjadi tenang dan akan mendapat kemanisan iman yang tak boleh didapati walau dengan harta apa pun.
Semoga kita dipilih oleh Allah SWT untuk menjadi ahli Tahajud sehingga ajal menjemput. Amin.
No Comments