Sudah lama saya perhatikan di kalangan rakan-rakan dan ibu bapa yang mempunyai “special kids”, naluri ibu biasanya tidak akan menipu. Ibu bapa yang baik adalah yang cepat melakukan intervensi awal kepada anak-anak jika mereka merasakan anak mereka ada “something wrong”.
Kerap kali kita berjumpa dengan pesakit yang datang sudah terlewat untuk memulakan langkah awal perawatan. Jadi kadar untuk mereka kembali kepada “normal functioning” agak sukar atau menjadi sedikit lambat. Hampir semua hospital negeri sudah mempunyai kepakaran, malah sub-kepakaran untuk membantu anak-anak kita. Lebih menarik lagi, kini perawatan cara holistik
Digunakan, termasuk terapi cara kerja (occupational therapy), psikologi dan kaunseling, “support group” dan lain-lain. Dan bayarannya adalah percuma jika warganegara. Jadi, alangkah sayangnya jika kita sendiri menidakkan perawatan yang terbaik ini untuk anak kita.
Apakah dia intervensi awal?
Intervensi awal ialah satu proses membekalkan perkhidmatan, pendidikan dan sokongan
Kepada kanak-kanak yang berisiko atau yang mengalami kelambatan dalam perkembangan
Fizikal atau mental yang akan mempengaruhi perkembangan dan menghalang pembelajaran. Perkhidmatan atau program intervensi awal yang disediakan adalah untuk memenuhi keperluan kanak-kanak dan keluarga yang berkeperluan khas dalam lima bidang perkembangan, iaitu perkembangan fizikal, kognitif, komunikasi, sosial dan emosi dan adaptasi (Sandler, Brazdziunas, Cooley & De Pijem 2001) melalui pelbagai terapi atau perkhidmatan, seperti terapi cara kerja, terapi fisio, terapi pertuturan dan khidmat sokongan untuk keluarga (Addison 2003). Keperluan program intervensi awal telah dibuktikan dengan kesan positif yang telah dicapai oleh kanak-kanak kurang upaya. Perkhidmatan intervensi yang diberikan seawal mungkin boleh membantu murid berkeupayaan khas meningkatkan peluang untuk berjaya di sekolah, bersaing dengan rakan tipikal dan seterusnya berjaya dalam hidup. Menurut Kid Source (2000), kanak-kanak kurang upaya yang menjalani intervensi awal berjaya kekal belajar di sekolah, menamatkan persekolahan dengan berjaya memperoleh pekerjaan dan juga melanjutkan pendidikan di universiti berbanding daripada mereka yang tidak mendapat intervensi awal. Perkembangan dalam teknologi perubatan telah memberi ruang kepada penyediaan sokongan intervensi awal seawal bayi dalam kandungan ibu. Individuals with Disabilities Education Act (IDEA) di Amerika Syarikat menjadi mandat kepada sektor pendidikan (a federal education law) untuk menyediakan perkhidmatan intervensi awal kepada bayi dan kanak-kanak bermula dari lahir sehingga umur tiga tahun (‘birth to 3’ or ‘zero to 3’) setelah mereka didiagnosis mempunyai perkembangan lambat (developmental delay) disebabkan keadaan ketidakupayaan fizikal dan mental.
Matlamat utama intervensi awal adalah meningkatkan kemahiran kognitif, bahasa,
Sosial dan emosi di kalangan kanak-kanak kurang upaya termasuk yang berisiko untuk
Mengalami masalah dalam pembelajaran. Pada peringkat umur antara bayi sehingga memasuki sekolah, pertumbahan kanak-kanak secara umumnya adalah pada peringkat yang paling penting dan paling cepat khususnya dalam perkembangan motor, sensori, sosial emosi, kognitif dan fizikal. Prasekolah merupakan tempoh yang paling kritikal untuk perkembangan tersebut dan intervensi awal perlu diberikan segera untuk mengurangkan risiko kanak-kanak kurang upaya daripada gagal dalam pembelajaran (Bazyk et al. (2009)).
Rujukan: Keperluan Intervensi Awal Bagi Murid Berkeperluan Khas; Saiful Azam Khoo Abdullah, Sektor Pendidikan Khas, Bahagian Pembangunan Kokurikulum.

No Comments