Keluarga

Ibu bekerjaya, Anak berjaya

Keluarga adalah institusi sosial yang utama dan paling asas dalam membentuk individu menjadi sebahagian daripada ahli masyarakat. Seorang manusia itu terbentuk hasil dari apa yang diterapkan oleh kedua ibu bapanya. Kata-kata hikmah seperti “tangan yang menghayun buaian boleh menggoncang dunia” dan “ibu itu adalah sekolah”, menunjukkan betapa besarnya peranan dan pengaruh seorang wanita sebagai ibu dan juga isteri dalam membentuk keluarga dan anak-anak. Justeru, kedudukan sebagai seorang ibu dan isteri sangat besar peranannya dan menuntut pengorbanan yang tinggi lebih-lebih lagi sekiranya wanita tersebut bekerja.

Di samping adanya seorang suami, wanita juga mempunyai peranan yang besar dalam sesebuah keluarga dan masyarakat. Beliau berperanan sebagai seorang isteri, ibu, ahli masyarakat, pekerja kepada majikannya, anak kepada kedua ibu bapanya dan yang paling penting adalah seorang hamba kepada Tuhannya. Pujangga berkata: “Wanita itu tiang negara. Baik wanita baiklah negara, rosak wanita rosaklah negara”. Maka, sebagai hamba Allah, seorang wanita itu perlu mempunyai ilmu asas seperti ilmu akidah, ibadah, akhlak, tajwid dan lain-lain sebelum mendidik anak-anak agar menjadi manusia yang berjaya dan berguna pada masa hadapan.

Selain itu, seorang isteri memerlukan kerjasama dan sokongan suaminya dalam menjayakan semua urusan rumah tangga. Apabila wanita bekerja kembali ke rumah selepas penat seharian di pejabat contohnya, bantuan suami seperti menolong menjaga anak, bergilir-gilir memasak, membasuh dan sebagainya akan memberi kelegaan yang besar kepada hati mereka. Kajian menunjukkan bahawa sebanyak 89.6% isteri mengaku bahawa suami mereka ada membantu mereka dalam menguruskan rumah tangga. Maka, seorang suami perlulah membantu dan bekerjasama dalam menguruskan anak-anak juga seperti menghantar dan mengambil anak di sekolah, membuat sarapan pagi dan menyediakan keperluan belajar anak-anak agar mereka ini tidak terabai.

Sebagai seorang ibu yang bekerja, kita mestilah bijak dalam membahagikan masa bersama anak-anak walaupun sibuk. Kita boleh meluangkan masa bersama mereka pada hari minggu dengan membawa mereka bercuti di tempat-tempat menarik, makan di luar atau melakukan aktiviti bersama-sama seperti berjoging dan bermain badminton. Dengan cara sebegini, kita dapat merapatkan hubungan kekeluargaan di samping mengurangkan tekanan di tempat kerja. Tanpa kita sedar, anak-anak ini sebenarnya sangat memerlukan belaian dan kasih sayang ibu ayah lebih-lebih lagi ketika masih kecil.

Pada zaman moden ini, cara kehidupan menunjukkan bahawa mempunyai TV, komputer dengan talian internet dan alatan telekomunikasi yang lain telah menjadi barang keperluan sehingga ramai ibu bapa berhempas pulas menyediakan semua kelengkapan ini terutamanya pada musim pandemik ini. Tidak dinafikan bahawa alat-alat ini dapat memberikan kebaikan dalam pelajaran khususnya, namun secara tidak langsung nilai-nilai yang ada di dalam negara lain akan turut masuk ke dalam rumah melalui pelbagai cara seperti laman web yang dilawati, filem yang ditonton dan sebagainya. Rancangan yang ditonton akan mempengaruhi dan meninggalkan kesan atas anak-anak yang masih belum mempunyai nilai teras yang kuat. Maka sebagai seorang ibu yg bekerja, kita juga boleh memantau anak-anak dengan mengehadkan apa yang mereka tonton dengan aplikasi tertentu atau mengurangkan waktu penggunaan gajet.

Sebagai kesimpulan, walaupun kita sibuk bekerja, namun kita tidak boleh mengabaikan tanggungjawab kepada anak-anak kerana mereka sangat memerlukan kasih sayang kita. Dr Yusuf al-Qaradhawi memberi nasihat yang sangat relevan di mana dia menyebut:

“bahawa wanita yang bekerja tidak harus terlalu mementingkan kualiti kerjayanya sahaja dengan mengabaikan kualiti keluarga dan anak-anaknya. Malah apabila berlaku pertembungan, wanita dikehendaki mendahulukan suami dan anak-anaknya berbanding dengan kerjayanya. Ini kerana Islam telah meletakkan garis panduan bahawa menjaga kebajikan dan kebahagiaan suami dan anak-anak adalah teras dan tanggungjawab utama seorang isteri ataupun ibu. Wanita yang lebih banyak menghabiskan masa dan tenaganya untuk pekerjaan luar mungkin menyebabkan dia tidak mampu lagi untuk melaksanakan tugas-tugas asasinya dengan sempurna.”

Sayangilah anak-anak walaupun kita sibuk bekerja.

[Slot Suri Hati]

No Comments

    Leave a Reply