Artikel ini adalah Bab 5 dari Siri “Mentafsir Semula Hak Asasi Manusia” oleh Mardhiyyah Johari.
Zaman ini adalah zaman media sosial berkembang. Masyarakat mengikuti perkembangan berita dan isu semasa dengan lebih pantas melalui media sosial dibandingkan dengan media konvensional. Lalu kita mendapati di samping kelebihan mengetahui isu-isu semasa dengan cepat, Kelebihannya, isu-isu semasa diperolehi dengan pantas. Namun malangnya suhu kebencian dan kemarahan sesama manusia begitu mudah dipanaskan melalui media maya.
Kebebasan bersuara yang diangkat sebagai hak asasi dilaungkan sebagai justifikasi segala hamburan kata penuh caci maki, buli siber, menyebarkan aib, fitnah, bahkan hasutan perkauman dan provokasi agama tanpa batasan. Lebih parah lagi apabila kebebasan bersuara menjadi satu senjata berkesan menyebarkan khabar angin dan fitnah yang mudah dipercayai ramai. Sehinggakan apabila keputusan Mahkamah memihak kepada mangsa fitnah sekalipun, ia tidak mampu membersihkan reputasi mangsa apabila kepercayaan terhadap sebaran cerita palsu di media sosial sudah berakar di minda pembaca.
Maka adalah menjadi satu tanggungjawab bagi kita untuk meletakkan satu garis sempadan agar nilai kemanusiaan kita tidak terkorban atas nama kebebasan bersuara. Adalah menyedihkan untuk kita mewariskan kebebasan bersuara dengan kemanusiaan yang mati kepada pewaris generasi.
Kebebasan bersuara adalah salah satu hak asasi manusia yang dijamin oleh undang-undang. Artikel 19 Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat (Universal Declaration of Human Rights) menyatakan bahawa:
‘setiap orang adalah berhak kepada kebebasan pendapat dan mengeluarkan fikiran; hak ini termasuklah kebebasan memegang pendapat tanpa gangguan dan menuntut menerima dan menyebarkan maklumat dan buah fikiran melalui sebarang media dan tanpa mengira sempadan’ (everyone has the right to freedom of opinion and expression; this right includes freedom to hold opinions without interference and to seek, receive and impart information and ideas through any media and regardless of frontiers’).
Manakala Perlembagaan Persekutuan turut memberikan jaminan terhadap kebebasan bersuara dalam Perkara 10(1)(a) dengan menyatakan bahawa ‘tiap-tiap warganegara berhak kepada kebebasan bercakap dan bersuara’.
Namun kebebasan ini hendaklah dimanfaatkan dengan penuh tanggungjawab kerana kebebasan bersuara tanpa sempadan telah menghasilkan kejadian-kejadian seperti berikut:
- Majalah mingguan Perancis, Charlie Hebdo menerbitkan karikatur menggambarkan Nabi Muhammad s.a.w dan menimbulkan kemarahan umat Islam di Perancis dan seluruh dunia. Namun tindakan itu dipertahankan Presiden Perancis Emmanuel Macron atas alasan kebebasan bersuara.
- Laman facebook atas nama Love Of LGBTQ Malaysia memaparkan gambar t- shirt dengan tulisan ‘Allah Is Gay’ yang merupakan satu provokasi keterlaluan terhadap umat Islam dan penganut agama lain yang berpegang bahawa hubungan sesama jantina adalah bertentangan dengan agama.
- Sikap ‘troll’ yang berleluasa di media sosial dipercayai antara punca remaja perempuan berusia 16 tahun membunuh diri dengan terjun dari tingkat tiga bangunan, dalam kejadian di MJC Batu Kawa, Kuching. Remaja berkenaan pada petang hari yang sama telah membuat undian menerusi akaun Instagram memaparkan dua kotak undian tertulis ‘D’, bermaksud ‘die’, dan ‘L’ bermaksud ‘live’. Sebanyak 69 peratus undian dalam kalangan kenalannya mengundi ‘D’. (Berita Harian Online,16 Mei 2019)
- Media sosial kini disalahgunakan untuk menyebar fitnah dan hasutan, sehingga menyentuh isu-isu sensitif seperti perkauman, keagamaan dan mencabar institusi raja-raja, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun (Utusan Borneo Online, 11 Februari 2018)
- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah mengambil tindakan terhadap mereka yang menyalahgunakan media sosial apabila sebanyak 48 pertuduhan telah difailkan di mahkamah bagi tempoh antara Januari sehingga September 2020. Angka tersebut memperlihatkan peningkatan sebanyak 66% dan adalah lebih tinggi berbanding pada tahun 2019. Daripada jumlah 48 tersebut, 34 pertuduhan adalah melibatkan kesalahan yang dilakukan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998, dengan perbuatan berkongsi atau menyebarkan kandungan lucah mencatatkan angka tertinggi iaitu sebanyak 22 pertuduhan. Ini diikuti pula dengan kandungan jelik sebanyak sembilan (9) pertuduhan serta kandungan palsu sebanyak tiga (3) pertuduhan.
Undang-undang sedia ada yang menjadi pelindung kepada mangsa salahguna kebebasan bersuara adalah;
- Seksyen 499 Kanun Keseksaan
Barangsiapa, sama ada dengan perkataan yang dituturkan atau yang dimaksudkan untuk dibaca atau dengan isyarat, atau dengan pernyataan zahir, membuat atau menyiarkan apa-apa tomahan mengenai seseorang, dengan maksud hendak merosakkan, atau dengan mengetahui atau dengan ada sebab mempercayai bahawa tomahan itu akan merosakkan nama baik orang itu, adalah dikatakan, kecuali dalam hal-hal yang dikecualikan kemudian daripada ini,memfitnahkan orang itu. - Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998
Penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian, dan lain-lain.
(1) Seseorang yang—
(a) dengan menggunakan mana-mana kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian atau perkhidmatan aplikasi secara sedar—
(i) membuat, mewujudkan atau meminta-minta; dan
(ii) memulakan penghantaran, apa-apa komen, permintaan, cadangan atau komunikasi lain yang lucah, sumbang, palsu, mengancam atau jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati, menganiayai, mengugut atau mengganggu orang lain; atau
(b) memulakan suatu komunikasi dengan menggunakan mana-mana perkhidmatan aplikasi, sama ada secara berterusan, berulang kali atau selainnya, dan dalam masa itu komunikasi mungkin atau tidak mungkin berlaku, dengan atau tanpa mendedahkan identitinya dan dengan niat untuk menyakitkan hati, menganiayai, mengugut atau mengganggu mana-mana orang di mana-mana nombor atau alamat elektronik, melakukan suatu kesalahan. - Akta Hasutan 1948
Akta Hasutan 1948 merupakan suatu akta undang- undang di Malaysia yang digubal untuk menghalang perbincangan yang dikatakan sebagai menghasut. Akta ini sebenarnya digubal oleh penjajah British pada tahun 1948. Akta ini menjadikan ucapan yang “mempunyai kecenderungan menghasut” sebagai suatu kesalahan jenayah. - Akta Fitnah 1957
Satu statut khusus untuk fitnah. Berdasarkan statut ini mangsa boleh memohon injunksi dan ganti rugi atas fitnah yang dibuat.
Namun peruntukan undang-undang semata-mata kelihatannya tidak cukup untuk mengawal manusia daripada bertindak sewenang-wenangnya terutama pada zaman dunia di hujung jari. Kesalahan di alam maya boleh menjadi lebih kejam apabila si pelaku boleh menggunakan akaun palsu bagi menyembunyikan identitinya dari dikenali.
Suara-suara fitnah, cerita palsu, aib, hasutan dan provokasi dipandang remeh kerana kebebasan bersuara amat sukar disekat apabila si pelaku tidak mempedulikan kesan besar terhadap hidup mangsa dan keluarga.
Oleh yang demikian, kesedaran awam adalah amat penting untuk memupuk budaya adab, ihsan dan manusiawi dalam mengamalkan kebebasan bersuara.
Kesedaran agama dan moral yang tinggi dapat memupuk sifat tanggungjawab di kalangan manusia di saat keterbatasan penguatkuasaan undang- undang.
Keimanan akan membawa kita menginsafi firman Tuhan di mana Allah s.w.t memerintahkan kita supaya mengucapkan perkataan-perkataan yang baik, sepertimana diwahyukan dalam Surah Al- Baqarah ayat 8 : “dan katakanlah kepada sesama manusia perkataan-perkataan yang baik”.
Syeikh Sa’di mengulas ayat berkenaan dengan menyatakan bahawa termasuk di dalam perkataan- perkataan yang baik itu ialah menyeru mereka kepada kebaikan dan mencegah mereka daripada kemungkaran (kejahatan), mengajarkan mereka ilmu pengetahuan, menyebarkan salam serta senyuman, dan lain-lain lain (perkara) yang termasuk di dalam (lingkungan) kata-kata yang baik.
Apabila tidak semua manusia mampu membantu manusia (yang lain) dengan hartanya, mereka diperintahkan untuk berbuat baik (ihsan) kepada setiap makhluk dengan perkara yang mereka mampu iaitu berbicara dengan kata-kata yang baik. Termasuk di dalamnya, larangan daripada berbicara kepada sesama manusia dengan perkataan yang buruk sekalipun kepada orang kafir.
Seterusnya Rasulullah SAW bersabda :
“Sejahat-jahat hamba Allah ialah mereka yang berjalan membawa mulut, iaitu mengadu domba, yang suka memecah-belahkan antara orang-orang yang berkasih sayang, yang mencacatkan orang- orang yang suci dengan kata-kata yang jahat” [HR Ahmad (17998)]
Dr. Yusuf al-Qaradawi menyebut di dalam kitabnya bahawa Islam sangat marah terhadap orang yang gemar mendengar perkataan yang buruk, lalu segera menyampaikan kepada orang lain untuk bermusuh-musuhan atau kerana ingin menimbulkan fitnah, atau bertujuan untuk memporak-perandakan hubungan antara satu sama lain supaya hancur dan binasa.
Selain itu, perbuatan fitnah juga dilarang di dalam Islam. Sabda Nabi Muhammad s.a.w :
“Tidak masuk syurga orang yang menyebarkan fitnah (mengadu domba)” [HR al-Bukhari (6056) dan Muslim (105)]
Menurut buku Hak Asasi Manusia dalam Islam oleh Sayyid Abul A’la Maududi, Islam memberikan kebebasan berfikir dan bersuara kepada semua rakyat dengan syarat ia digunakan untuk menyebarkan kebaikan dan bukan menyebar kejahatan. Sesungguhnya kebebasan bersuara untuk menyebarkan kebaikan dan kebenaran bukan hanya satu hak yang mesti diberi tetapi ia adalah kewajipan. Adalah menjadi hak dan kewajipan peribadi bersuara mencegah kemungkaran (kesalahan dan kejahatan), sama ada kemungkaran itu ditaja oleh peribadi atau satu kumpulan manusia atau kerajaan negara sendiri.Ia hendaklah mengecam secara terbuka kemungkaran yang berlaku dan menunjukkan pula jalan benar yang patut dilaksanakan.
Kebebasan bersuara adalah hak asasi manusia yang dijamin perlembagaan negara serta deklarasi hak asasi manusia antarabangsa. Namun hak asasi manusia mestilah dijulang tanpa mengorbankan manusia yang lain, hatta dengan justifikasi kebebasan bersuara. Jika tidak, laungan hak asasi manusia itu hanya sekadar retorik yang merosakkan kemanusiaan dan kerukunan masyarakat.

No Comments