Hak Asasi Manusia / Perundangan

Hukuman Mati: Antara Hak Asasi Pembunuh dan Hak Asasi Mangsa

Artikel ini adalah Bab 1 dari Siri “Mentafsir Semula Hak Asasi Manusia” oleh Marhiyyah Johari.

Hukuman mati adalah satu bentuk hukuman yang telah sekian lama dilaksanakan namun kini berhadapan desakan untuk dihapuskan atas nama hak asasi manusia. Menurut Amnesty International, sebanyak 108 negara telah menghapuskan hukuman mati setakat akhir tahun 2020.

Ini menunjukkan bahawa trend dunia ke arah memansuhkan hukuman mati. Hanya sebilangan kecil negara yang masih melaksanakan hukuman mati.

Tulisan ini tidak berbicara tentang hukuman mati bermotif politik sepertimana yang harus ditempuh Socrates di zaman silam dan Mohamed Morsi pada zaman ini.

Sebaliknya tulisan ini membincangkan mengenai hukuman mati ke atas mereka yang didapati bersalah kerana melakukan kesalahan jenayah khususnya perbuatan membunuh, setelah melalui proses perbicaraan di Mahkamah.

Amnesty International, sebuah gerakan hak asasi antarabangsa menyatakan pendirian menolak hukuman mati secara total tanpa mengambilkira siapakah yang membunuh, jenis dan keadaan jenayah mahupun kaedah pelaksanaan hukuman mati. Gerakan ini menganggap hukuman mati adalah hukuman yang sangat kejam, tidak berperikemanusiaan dan hina. Mereka menegaskan bahawa hukuman mati adalah perlanggaran hak asasi manusia yang dijamin Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR).

Memetik pandangan Amnesty International:

“The death penalty is the ultimate cruel, inhuman and degrading punishment. Amnesty opposes the death penalty in all cases without exception – regardless of who is accused, the nature or circumstances of the crime, guilt or innocence or method of execution.

Amnesty International holds that the death penalty breaches human rights, in particular the right to life and the right to live free from torture or cruel, inhuman or degrading treatment or punishment. Both rights are protected under the Universal Declaration of Human Rights, adopted by the UN in 1948.”

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) bersetuju supaya hukuman mati dimansuhkan sepenuhnya sepertimana yang dinyatakan dalam Laporan Tahunan SUHAKAM 2019.

Berikut adalah senarai syor daripada SUHAKAM berkenaan hukuman mati sebagaimana yang terkandung dalam Laporan Tahunan SUHAKAM 2019.

  1. Cadangan penggantian hukuman mati dengan penjara seumur hidup bagi tempoh 30 tahun adalah selari dengan pendirian tetap SUHAKAM bahawa hukuman mati hendaklah dimansuhkan sepenuhnya.
  2. Dalam merangka pembaharuan undang- undang bagi tujuan pemansuhan hukuman mati, SUHAKAM melihat keperluan terhadap kerajaan untuk mempertimbangkan semula kewajaran hukuman mati berbanding tahap keseriusan semua kesalahan yang membawa hukuman mati dalam undang-undang Malaysia pada masa ini, dan bertindak progresif daripada sistem keadilan jenayah yang bersifat pembalasan (retributive justice) kepada sistem keadilan jenayah yang bersifat pemulihan (restorative justice).
  3. Sungguhpun begitu, SUHAKAM tidak bersetuju dengan hukuman penjara sepanjang hayat dan hukuman sebatan sebagai hukuman alternatif kepada hukuman mati. Hukuman penjara sepanjang hayat menafikan banduan daripada sebarang harapan untuk pemulihan dan integrasi semula dalam masyarakat manakala hukuman sebatan adalah bertentangan dengan hak kepada kebebasan daripada sebarang bentuk penyeksaan dan hukuman lain yang zalim, tidak berperikemanusiaan dan menjatuhkan maruah.
  4. Perlindungan dan panduan amalan terbaik yang cukup perlu diwujudkan dan dilaksanakan dalam memastikan mahkamah turut mengamalkan penghukuman yang mencapai matlamat yang sama, iaitu pemulihan dan integrasi semula dengan masyarakat.
  5. Keadaan penjara dan tahap layanan terhadap banduan mestilah diperbaiki bagi memastikan pemenjaraan tidak menjadi hukuman berganda yang kejam dan menjatuhkan maruah bagi banduan.
  6. SUHAKAM menyeru agar semakan dan penghukuman semula hukuman dijalankan ke atas semua banduan akhir sedia ada dengan tujuan sama ada hukuman mati mandatori digantikan dengan hukuman penjara pro rata atau banduan dibebaskan dengan syarat.
  7. Cadangan pelaksanaan diyat sebagai hukuman alternatif untuk menggantikan hukuman mati mandatori atas kesalahan membunuh barangkali akan bercanggah dengan pendirian SUHAKAM supaya hukuman mati dimansuh sepenuhnya memandangkan cadangan tersebut masih berdasarkan premis bahawa mahkamah mempunyai budi bicara untuk menjatuhkan hukuman mati, diyat dan/atau penjara dengan pengampunan atas pilihan wakil keluarga si mati.
  8. Seksyen 426 Kanun Prosedur Jenayah sudah pun boleh digunapakai oleh Mahkamah Tinggi untuk mengeluarkan perintah pembayaran pampasan kepada wakil si mati selepas hukuman dijatuhkan bagi jenayah membunuh. Oleh itu, keperluan untuk memperkenalkan diyat sebagai hukuman alternatif atau sebagai langkah untuk meringankan beban keluarga si mati boleh dipersoalkan. Selain itu, tanpa perlindungan yang berkesan, tiada jaminan bahawa pelaksanaan diyat akan memberi layanan yang setimpal kepada pesalah dari segi keadilan terutamanya dari segi perbezaan kemampuan kewangan.

Dalam erti kata lain, SUHAKAM tidak sekadar berpendirian bahawa hukuman mati perlu dimansuhkan sepenuhnya. Malah SUHAKAM tidak bersetuju hukuman mati digantikan dengan penjara sepanjang hayat, sebatan ataupun diyat. Sebaliknya meminta hukuman mati mandatori ke atas banduan akhir digantikan dengan hukuman penjara pro rata atau banduan dibebaskan dengan syarat. Alasan SUHAKAM adalah sistem keadilan jenayah yang

bersifat pembalasan (retributive justice) hendaklah diubah kepada sistem keadilan jenayah yang bersifat pemulihan (restorative justice).SUHAKAM turut membangkitkan mengenai pemulihan dan integrasi semula banduan dengan masyarakat.

Persoalannya, adakah penghapusan hukuman mati bertepatan dengan keadilan dan hak asasi manusia?

Antara kesalahan-kesalahan yang dijatuhkan hukuman mati mandatori di Malaysia adalah kesalahan membunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan serta mengedar dadah di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Manakala bagi kesalahan lain yang turut memperuntukkan hukuman mati seperti melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan

Agong, Raja atau Yang di-Pertuan Negeri sepertimana dalam Seksyen 121 Kanun Keseksaan, Mahkamah masih diberi budi bicara untuk menjatuhkan hukuman selain daripada hukuman mati seperti penjara atau denda.

Pandangan untuk memansuhkan hukuman mati masih boleh diterima untuk kesalahan-kesalahan yang tidak melibatkan nyawa manusia lain. Sebagai contoh, Malaysia mengambil langkah positif dengan meminda Akta Dadah Berbahaya 1952 pada 2017 yang secara relatif boleh mengurangkan hukuman mati mandatori bagi kesalahan mengedar dadah.

Namun pendirian untuk memansuhkan hukuman mati secara total termasuk bagi kesalahan membunuh dengan sengaja adalah melanggar prinsip keadilan dan hak asasi yang melindungi nyawa manusia.

Perkara 3 Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat (Universal Declaration of Human Rights) menjamin hak kepada nyawa dengan menyatakan bahawa ‘setiap orang adalah berhak kepada nyawa, kebebasan dan keselamatan diri’.

Bagaimana pada satu sisi undang-undang antarabangsa memberi perlindungan kepada hak seseorang manusia untuk hidup, namun pada masa yang sama mahu melindungi pembunuh yang menafikan hak manusia lain untuk terus hidup? Pendirian ini sangat ironi dan kontradik.

Adalah suatu sikap yang tidak manusiawi bagi pihak berautoriti untuk memberikan prioriti simpati kepada pembunuh melebihi mangsa dan keluarga mangsa. Keadilan mesti ditegakkan untuk mangsa walaupun dia sudah tidak bernyawa.

Sepertimana kata Lord Hewart di dalam kes Rex v. Sussex Justices, [1924] 1 KB 256 , keadilan tidak hanya mesti dilaksana tetapi mesti dilihat dilaksanakan (Justice must not only be done, but must also be seen to be done).

Seandainya kita merenung kembali satu demi satu kisah pembunuhan kejam yang berlaku dalam negara ini :

  1. Noor Suzaily Mokhtar, seorang jurutera komputer yang dirogol, diliwat dan dibunuh pada 7 Oktober 2000 oleh pemandu bas yang mangsa naiki. Selain diliwat dan dirogol, mangsa juga dipukul tanpa belas kasihan sehingga menyebabkan terdapat lebih empat puluh kecederaan di tubuhnya. Mangsa kemudiannya dicampak dalam keadaan bogel di kawasan perumahan yang masih dalam pembinaan.
  2. terdiri daripada pemandu, peguam peribadi serta pegawai bank. Sosilawati dilaporkan hilang sejak 30 Ogos 2010 dan kemudiannya pihak polis mendapati mangsa dibunuh dengan kejam pada 12 September 2010. Polis mengesahkan keempat-empat mangsa dipukul sampai mati sebelum dibakar dan abu dibuang ke dalam sungai.
  3. Allahyarham Zulfarhan Osman, penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) baru berusia 21 tahun ketika dipukul sampai mati dipercayai oleh rakan-rakan seuniversitinya. Mangsa dibelasah dengan tanpa perikemanusiaan menggunakan getah paip, penyangkut baju serta ditekap dengan seterika wap di seluruh badan sehingga cedera parah dan menghembuskan nafas yang terakhir. Kesalahan berlaku di asrama pada 22 Mei 2017.
  4. Seorang wanita berusia 38 tahun dikatakan tidak pulang ke rumahnya selama beberapa hari meninggalkan dua cahaya mata berusia tiga dan empat tahun. Kehilangannya terjawab apabila mayat mangsa ditemui dalam tong biru di kawasan ladang serai di Bandar Penawar. Mangsa dipercayai ditembak oleh suaminya sendiri dengan senapang angin ketika sedang tidur.
  5. Canny Ong seorang penganalisis teknologi maklumat di Amerika Syarikat pulang ke Malaysia untuk menziarahi ayahnya yang sakit. Pada 13 Jun 2003, sehari sebelum kembali ke US beliau keluar untuk makan malam bersama keluarga dan rakan-rakan. Beliau kemudiannya didapati hilang. Mayat Canny Ong ditemui dalam keadaan hangus dalam lubang sempit di tepi lebuh raya dengan ditindih oleh dua tayar besar berisi simen. Canny Ong telah dirogol di dalam kereta dan dibunuh dengan tikaman pisau.

Ini hanyalah beberapa kisah daripada ribuan kisah pembunuhan kejam dan mengerikan yang berlaku dalam negara kita. Bagaimana kita mampu berasa simpati dan bersifat mahu melindungi manusia yang telah memperlakukan manusia lain dengan sangat kejam sehingga kehilangan nyawa?

Hak untuk hidup adalah hak asasi manusia yang pertama dan terawal diiktiraf oleh Islam.Hak ini dinukilkan dalam Surah al-Maidah ayat 32 yang bermaksud :
“Barangsiapa yang membunuh seorang manusia, bukan kerana orang itu (membunuh) orang lain, atau bukan kerana membuat kerosakan di muka bumi, maka seakan-akan dia telah membunuh manusia seluruhnya.”

Perbuatan membunuh adalah dilarang dalam Islam sepertimana dinyatakan dalam ayat 151 surah Al- An’am :
“Dan janganlah kamu membunuh jiwa yang diharamkan Allah (membunuhnya) melainkan dengan sesuatu (sebab) yang benar

Walaupun dalam undang-undang Islam ada memperuntukkan ganti hukuman bunuh kepada diyat (pampasan) bagi pembunuh jika mendapat kemaafan daripada waris mangsa bunuh, namun kemaafan itu tidak boleh dipaksakan ke atas waris. Terdapat aktivis hak asasi manusia yang menggesa dimansuhkan hukuman mati dan meminta agar keluarga mangsa bunuh memilih kemaafan berbanding hukuman bunuh.

Setiap kes adalah berbeza. Begitu juga keadaan sesebuah keluarga adalah tidak sama antara satu dengan yang lain.Oleh yang demikian hak untuk memaafkan atau sebaliknya adalah hak waris mangsa sepenuhnya tanpa perlu ada campur tangan negara. Memansuhkan hukuman mati secara total adalah ibarat mengambil alih hak kemaafan daripada keluarga mangsa kerana bukan semua waris sanggup melihat pembunuh ahli keluarga mereka terlepas daripada hukuman setimpal.

Analoginya seperti hutang. Jika ada pemiutang yang mahu menghalalkan hutangnya kepada penghutang maka itu adalah baik. Namun kita tidak boleh memaksa kesemua pemiutang menghalalkan hutang atas alasan menghalalkan hutang adalah satu amalan yang baik.

Berdasarkan Statistik Jenayah 2019 yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, jumlah kes bunuh pada tahun 2018 sahaja adalah sebanyak 323. Seandainya hukuman bunuh dimansuhkan sudah pasti akan menghilangkan kegerunan bagi manusia yang berniat jahat dan merancang kejahatan, ianya pasti lebih sukar diterima oleh keluarga mangsa pembunuhan kejam.

Penghapusan hukuman bunuh adalah satu ketidakadilan dan penafian hak mangsa bunuh serta keluarga mangsa. Di samping itu tidak ada jaminan menyakinkan bahawa penghapusan hukuman bunuh secara total mampu mengurangkan kadar kes bunuh. Maka negara mengambil risiko kehilangan nyawa rakyat yang tidak berdosa dan pada masa yang sama perlu menanggung kos menguruskan banduan jenayah bunuh di dalam penjara. Ternyata ketaatan membuta tuli terhadap interpretasi hak asasi manusia menurut naratif barat hanya akan memperjudikan keadilan buat rakyat.

No Comments

    Leave a Reply