Agama

Solat Berdiri atau Solat Duduk

Berkata Imam Malik r.a.:

Daripada Abdullah bin ‘Amr bin Al-‘As r.a.:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ : صَلَاةُ أَحَدِكُمْ وَهُوَ قَاعِدٌ مِثْلُ نِصْفِ صَلَاتِهِ وَهُوَ قَائِمٌ

Ertinya: “Sungguhnya Rasulullah sollalahu alaihi wasallam bersabda: Solat seorang kamu yang dia sedang duduk seumpama separuh solatnya yang dia sedang berdiri.”

Hadis yang semakna dengannya ada dikeluarkan juga oleh Imam Ahmad dan Muslim dan At-Tirmizi dan lainnya.

Keterangan

Hadis ini datang pada menerangkan sungguhnya solat duduk itu seumpama separuh solat berdiri dan keharusan solat sunat sambil duduk sekalipun ketiadaan uzur.

Solat berdiri

Ketahui olehmu bahawsanya jika seorang itu hendak bersolat maka diwajibkan ke atasnya berdiri dengan nas Al-Quran dan Sunnah dan setengah daripada rukun solat itu ialah berdiri betul yakni ke atas orang yang mampu maka tidak sah solat dalam keadaan duduk sekalipun ketika sedang musafir melainkan ada baginya uzur.

Allah Taala berfirman:

وَقُومُواْ لِلَّهِ قَٰنِتِينَ

Ertinya: “Berdirilah kamu sekalian bagi Allah dalam keadaan taat.” (Al-Baqarah: 238)

Dan diriwayatkan daripada ‘Imran bin Husain r.a. adalah Nabi sollalahu alaihi wasallam telah bersabda:

صَلِّ قَائِمًا فَإِنْ لَمْ تَسْتَطِعْ فَقَاعِدًا فَإِنْ لَمْ تَسْتَطِعْ فَعَلَى جَنْبٍ

Ertinya: “Solatlah oleh kamu dalam keadaan berdiri kemudian jika kamu tidak mampu maka dalam keadaan duduk kemudian jika kamu tidak mampu maka berbaring di atas rusuk.” (Hadis riwayat Imam Bukhari)

Berkata ulamak bermula hadis-hadis yang datang pada mensyaratkan berdiri ketika solat maka yaitulah solat fardu ketika tiada baginya uzur dan hadis-hadis yang datang pada membolehkan solat duduk tanpa uzur maka iaitu solat yang sunat.

Tersebut pada kitab Al-Mausu’ah Al-Fiqhiyyah:

اتَّفَقَ الْفُقَهَاءُ عَلَى أَنَّ الْقِيَامَ رُكْنٌ فِي الصَّلاَةِ الْمَفْرُوضَةِ عَلَى الْقَادِرِ عَلَيْهِ

Ertinya: “Telah sepakat oleh fuqahak atas bahawasanya berdiri itu satu rukun di dalam solat yang fardu atas yang kuasa atasnya.”

Maksudnya siapa yang kuasa atasnya berdiri pada solat fardu lalu dia solat sambil duduk nescaya solatnya itu tidak sah kerana meningalkan satu rukun di dalam solat.

Solat duduk

Ketahui olehmu bermula solat dalam keadaan duduk itu berlaku pada dua keadaan yaitu ketika menunaikan solat sunat dan ketika menunaikan solat fardu kerana uzur.

Dan hadith yang didatangkan oleh Imam Malik ini ialah berkenaan solat sunat bukannya solat fardu ketika uzur yang ia akan disebut kemudian pada tempatnya.

Pada hadis Abdullah bin ‘Amr bin Al-‘As r.a. itu Rasulullah sollalahu alaihi wasallam bersabda:

صَلَاةُ أَحَدِكُمْ وَهُوَ قَاعِدٌ مِثْلُ نِصْفِ صَلَاتِهِ وَهُوَ قَائِمٌ

Ertinya: “Solat salah seorang kamu dalam keadaan dia duduk ialah seumpama separuh solatnya dalam keadaan dia berdiri.”

Bermula yang dikehendaki dengan separuh pada solat duduk itu iaitulah pahalanya yakni siapa yang boleh berdiri tetapi dia kerjakan solat sunat dalam keadaan duduk maka pahalanya ialah separuh daripada pahala yang dia kerjakan dalam keadaan berdiri.

Imam Bukhari meriwayatkan di dalam sahihnya daripada ‘Imran bin Husain r.a. beliau berkata:

سَأَلْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ صَلاَةِ الرَّجُلِ قَاعِدًا، فَقَالَ : إِنْ صَلَّى قَائِمًا فَهُوَ أَفْضَلُ وَمَنْ صَلَّى قَاعِدًا، فَلَهُ نِصْفُ أَجْرِ القَائِمِ، وَمَنْ صَلَّى نَائِمًا، فَلَهُ نِصْفُ أَجْرِ القَاعِدِ

Ertinya: “Aku telah bertanyakan Rasulullah sollalahu alaihi wasallam daripada solat seorang lelaki dalam keadaan duduk lalu sabdanya: Sungguhnya jika dia telah solat dalam keadaan berdiri maka iaitulah lebih afdhal dan siapa yang telah solat dalam keadaan duduk maka baginya separuh pahala yang berdiri. Dan siapa yang solat dalam keadaan tidur maka baginya separuh pahala yang duduk.”

Dan sebahagian riwayat menambah solat sambil berbaring menyamai separuh pahala solat sambil duduk.

Diriwayatkan dalam Sunan Abi Daud daripada ‘Imran bin Husain r.a. sungguhnya beliau telah bertanyakan Rasulullah sollalahu alaihi wasallam daripada solat seorang lelaki dalam keadaan duduk lalu sabdanya:

صَلَاتُهُ قَائِمًا أَفْضَلُ مِنْ صَلَاتِهِ قَاعِدًا، وَصَلَاتُهُ قَاعِدًا عَلَى النِّصْفِ مِنْ صَلَاتِهِ قَائِمًا، وَصَلَاتُهُ نَائِمًا عَلَى النِّصْفِ مِنْ صَلَاتِهِ قَاعِدًا

Ertinya: “Solatnya dalam keadaan berdiri lebih afdhal dari solatnya dalam keadaan duduk. Dan solatnya dalam keadaan duduk atas separuh daripada solatnya dalam keadaan berdiri dan solatnya dalam keadaan tidur atas separuh daripada solatnya dalam keadaan duduk.”

Dan hadis ini menjadi dalil tidak wajib berdiri pada solat sunat yaitu sah dikerjakannya dalam keadaan duduk sekalipun dia mampu berdiri dengan ijmak dan sebab diharuskan duduk bagi solat sunat itu ialah kerana bilangannya yang banyak dan lagi menggalakkan pada berbuat ibadah.

Berkata Imam Nawawi:

يَجُوزُ فِعْلُ النَّافِلَةِ قَاعِدًا مَعَ الْقُدْرَةِ عَلَى الْقِيَامِ بِالْإِجْمَاعِ

Ertinya: “Harus berbuat solat yang sunat dalam keadaan duduk serta kuasa atas berdiri dengan ijmak.” (Kitab Al-Majmuk)

Berkata Dr Wahbah Az-Zuhaili:

ولا يجب القيام في النافلة، فتصح مع القدرة على القيام؛ لأن مبنى النوافل على التيسير والأخذ بالرفق، ولأن النوافل كثيرة، فلو وجب فيها القيام شَقَّ وانقطعت النوافل

Ertinya: “Dan tidak wajib berdiri pada solat yang sunat maka sah solat serta kuasa atas berdiri kerana sungguhnya terbina segala solat yang sunat itu atas dipermudahkan dan mengambil dengan keringanan dan kerana sungguhnya segala solat sunat itu sangat banyak maka jikalau wajib padanya berdiri nescaya kesukaran dan terputus segala yang sunat.” (Kitab Al-Fiqh Al-Islami)

Dan tersebut pada kitab Al-Mausu’ah Al-Fiqhiyyah:

اتَّفَقَ الْفُقَهَاءُ عَلَى جَوَازِ التَّنَفُّل قَاعِدًا لِعُذْرٍ أَوْ غَيْرِ عُذْرٍ

Ertinya: “Telah sepakat oleh fuqahak atas harusnya solat sunat dalam keadaan duduk kerana uzur atau ketiadaan uzur.”

Dan telah lalu sebutnya bahawa solat yang fardu tiada harus padanya duduk dengan ketiadaan uzur maka jika ada bagi seorang itu uzur dari berdiri nescaya harus dia solat fardu tersebut sambil duduk dan pahalanya tidak berkurangan.

Berkata Syeikh Al-Mubarakfuri:

قال النووي في الخلاصة: قال العلماء هذا صلاة في النافلة أي مع القدرة على القيام. وأما الفرض فلا يجوز القعود فيه مع القدرة على القيام بالإجماع، فإن عجز لم ينقص ثوابه- انتهى

Ertinya: “Telah berkata oleh Imam Nawawi pada kitab Al-Khulasah: Telah berkata ulamak solat ini ialah solat sunat artinya ketika dia kuasa atas berdiri. Dan adapun solat fardu maka tidak harus duduk padanya serta kuasa atas berdiri. Maka jika seorang itu lemah nescaya tidak berkurang oleh pahalanya.” (Kitab Mir’ah Mafatih)

Wallahua’lam. –  HARAKAHDAILY 18/6/2025

No Comments

    Leave a Reply