Al-Quran kaya dengan seni bahasa yang mendatangkan nikmat kefahaman yang luar biasa. Dalam menceritakan kualiti hidup orang-orang beriman, al-Quran mengibaratkan mereka seperti benih. Lalu menjadi pokok yang kukuh.
Benih.
Dalam ayat terakhir surah al-Fath yang bertemakan sifat kemenangan Islam, Allah telah mengisytiharkan sifat-sifat golongan beriman layak dianggap bersama perjuangan Nabi. Syeikh Sa’id Hawwa dalam tafsirnya menjelaskan:
“Ayat ini menjelaskan kriteria-kriteria gerakan yang layak beroleh perlindungan, pertolongan & kemenangan dari Allah… Mereka mestilah terdiri dalam kalangan kelompok yang menyatakan kebenaran atas dorongan iman, beramal soleh, bersatu, berjuang, komited, berketerampilan baik sebagai cerminan ibadat yang diamalkan, ruku’ serta sujud, bersifat rahmat sesama orang beriman & keras dengan golongan yang kafir”
Selanjutnya Allah menyatakan ibarat bagi golongan beriman, bagaimana perjuangan mereka bermula & apakah hasilnya.
ذَٰلِكَ مَثَلُهُمْ فِى ٱلتَّوْرَىٰةِ ۚ وَمَثَلُهُمْ فِى ٱلْإِنجِيلِ كَزَرْعٍ أَخْرَجَ شَطْـَٔهُۥ فَـَٔازَرَهُۥ فَٱسْتَغْلَظَ فَٱسْتَوَىٰ عَلَىٰ سُوقِهِۦ يُعْجِبُ ٱلزُّرَّاعَ لِيَغِيظَ بِهِمُ ٱلْكُفَّارَ
“Demikianlah sifat-sifat mereka yang telah diungkapkan dalam Taurat & begitu juga yang diumpakan dalam Injil. Iaitu seperti benih yang mengeluarkan tunasnya. Kemudian tunas itu semakin kuat lalu membesar & tegak lurus di atas batangnya. Tanaman itu menyenangkan hati penanam-penanamnya, kerana Allah ingin menimbulkan perasaan tidak senang hati pada orang kafir” – al-Fath 29.
Sememangnya terdapat riwayat ketika pembukaan Syam, golongan-golongan Nasrani menyaksikan sifat para sahabat. Mereka mengaku betapa serupanya kriteria yang ada pada para sahabat jika dibandingkan dengan perkhabaran yang terkandung di dalam Injil.
Imam Fakhruddin al-Razi di dalam tafsirnya mengulas kenapa pengikut-pengikut Nabi disifatkan seperti benih? Allah ingin menggambarkan perkembangan gerakan pengikut Nabi yang bermula dalam keadaan lemah sehingga beransur-ansur menjadi kuat sempurna.
Jika kita melihat tabiat da’wah para Nabi pun, pengikut-pengikut mereka diawali dengan golongan-golongan lemah yang tiada kepentingan duniawi terlebih dahulu. Kemudian baru disusuli oleh golongan pembesar setelah da’wah tersebut berkembang & berpengaruh.
Apabila diumpamakan sebagai benih, adalah terlalu sukar untuk dihapuskan. Jika ada yang beranggapan ia akan mati jika dibenamkan ke dalam tanah, maka mereka silap. Bahkan dengan tindakan itulah yang menyebabkan benih-benih tersebut terus hidup & membesar.
Pokok Yang Kukuh & Berjasa.
Seterusnya kita melihat pegangan orang-orang beriman yang bakal membentuk jati diri mereka. Allah berfirman:
أَلَمْ تَرَ كَيْفَ ضَرَبَ اللَّهُ مَثَلاً كَلِمَةً طَيِّبَةً كَشَجَرةٍ طَيِّبَةٍ أَصْلُهَا ثَابِتٌ وَفَرْعُهَا فِي السَّمَآءِ• تُؤْتِي أُكُلَهَا كُلَّ حِينٍ بِإِذْنِ رَبِّهَا وَيَضْرِبُ اللَّهُ الأَمْثَالَ لِلنَّاسِ لَعَلَّهُمْ يَتَذَكَّرُونَ
“Tidakkah kamu melihat bagaimana Allah telah membuat perumpamaan tentang kalimah yang baik seperti pohon yang baik. Akarnya teguh & cabangnya menjulang ke langit. Pohon itu memberikan buahnya pada setiap musim dengan izin Tuhannya. Allah memberi perumpamaan-perumpamaan itu untuk manusia supaya mereka selalu beringat” – Ibrahim 24-25.
Kalimah yang baik mengandungi beberapa maksud. Imam Ibnu Kathir menyatakan ia adalah kalimah syahadah. Darinya membentuk kualiti tauhid yang menjadi jati diri orang-orang beriman.
Syeikh al-Qaradhawi pula menaqalkan tafsiran bagi kalimah yang baik merujuk kepada al-Quran, kerana ia akan memandu manusia ke jalan yang benar.
Manakala Said Qutb mengatakan kalimah yang baik itu bermaksud mesej kebenaran. Jika ingin dirumuskan, semua tafsiran yang telah disebutkan sebenarnya berkongsi maksud yang saling berhubung. Iaitu prinsip kebenaran orang beriman mestilah berpandukan al-Quran, lalu membentuk jati diri tauhid yang kukuh.
Adapun maksud cabangnya menjulang ke langit, Syeikh al-Qaradhawi menyatakan bahawa sifat ajaran yang benar mestilah tinggi capaiannya & jelas tanpa berselindung. Ia bersifat mandiri.
Sebaliknya sifat ajaran yang batil selalunya gemar untuk berselindung kerana terselit tipu daya yang meragukan. Sesungguhnya kebenaran itu tabiatnya jelas terzahir & ia bersifat konsisten tidak berubah.
Agar Kita Dapat Membanggakan Nabi.
Dari 2 ayat yang telah dinyatakan di atas, kita perlu menyedari akan kualiti yang perlu dimiliki selaku umat Nabi. Apabila Allah mengumpamakan orang-orang beriman seperti pokok yang bermanfaat, ia menuntut kita untuk memahami bahawa:
• Islam yang dianuti hari ini adalah hasil pengorbanan Nabi & para penyambung perjuangannya. Merekalah yang telah bersusah payah menanam benih. Mereka cukup faham betapa pentingnya menyediakan pelapis-pelapis yang baik untuk umat.
• Orang-orang beriman perlu memiliki asas & jati diri dalam kehidupan. Di sinilah pentingnya ilmu & kefahaman. Sekalipun akar yang terbenam di perut bumi itu tidak kelihatan, namun kesannya dapat dilihat. Ia adalah faktor utama kepada berdiri kukuhnya sesebuah pokok.
• Wajib melangsungkan seruan Islam dengan kata-kata & contoh perilaku yang baik. Ajaran yang benar itu pasti akan tersebar, berkembang & berbuah. Ibarat pokok yang membesar, sekalipun tumbesarannya kelihatan perlahan namun ia pasti akan berbuah. Sabar adalah kuncinya. Gunakan segala ruang yang ada untuk mencerahkan umat.
Ternyata metafora-metafora di dalam al-Quran sangat mencerdaskan akal manusia. Demikianlah bagaimana Allah menggesa kita untuk berfikir, supaya benar-benar faham akan sifat agama yang kita anuti.
(Penulisan ini diambil daripada laman facebook ustaz Abdul Mu’izz Muhammad yang diterbitkan pada 8 Disember 2020)
No Comments