Agama

Bolehkah Solat Sunat Ketika Khutbah?

Setiap kali tiba hari Jumaat, masjid akan mula dipenuhi jemaah dari segenap arah. Ada yang datang awal sebelum azan, ada juga yang datang bila imam dah mula khutbah.

Waktu tu, kita akan nampak ada orang yang terus duduk dengar khutbah, tapi ada juga yang bangun solat sunat dua rakaat walaupun imam dah mula khutbah. Jadi, mulalah timbul persoalan, boleh ke solat sunat masa khutbah sedang berlangsung?

Sebenarnya, isu ini bukan perkara baru. Dalam masyarakat kita, ramai yang masih keliru. Ada yang takut nak solat sebab dikhuatiri dikatakan tak hormat khutbah. Ada juga yang pernah kena “jelingan tajam” dari pakcik masjid sebab solat masa khatib sedang berbicara.

Tapi, berdasarkan hadis sahih daripada Nabi SAW sendiri, solat sunat ketika khutbah khususnya solat Tahiyyatul Masjid adalah dibenarkan, malah pernah disuruh oleh Nabi SAW sendiri.

Dalam sebuah hadis sahih yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Muslim, daripada Jabir bin Abdullah RA, beliau berkata:

جَاءَ رَجُلٌ وَالنَّبِيُّ ﷺ يَخْطُبُ يَوْمَ الْجُمُعَةِ، فَقَالَ: “أَصَلَّيْتَ؟” قَالَ: لَا، قَالَ: “قُمْ فَصَلِّ رَكْعَتَيْنِ”

“Seorang lelaki datang (ke masjid) pada hari Jumaat sedangkan Nabi SAW sedang berkhutbah. Baginda bertanya kepadanya: ‘Adakah kamu telah solat?’ Lelaki itu menjawab: ‘Belum.’ Maka Baginda bersabda: ‘Bangunlah dan solat dua rakaat.’”

(Riwayat al-Bukhari & Muslim)

Hadis ini sangat jelas. Nabi SAW tidak melarang, bahkan menyuruh lelaki itu solat, walaupun ketika khutbah sedang berlangsung.

Maka ini menjadi hujah kukuh bahawa solat Tahiyyatul Masjid tetap digalakkan walaupun imam sudah mula berkhutbah.

Namun begitu, penting juga untuk diingat bahawa khutbah tetap wajib diberi perhatian. Jadi, solat sunat yang dilakukan ketika khutbah mestilah ringkas dan tidak memanjangkan bacaan. Cukuplah dua rakaat dengan surah pendek.

Jangan pula solat terlalu lama, membaca surah-surah yang panjang, rukuk dan sujud seperti sedang solat malam. Imam sudah masuk khutbah kedua, tetapi masih berada di rakaat pertama.

Keadaan ini bukan sahaja mengundang perhatian, malah boleh mengganggu jemaah lain yang sedang mendengar khutbah.

Kesimpulannya, solat sunat Tahiyyatul Masjid ketika khutbah adalah dibenarkan berdasarkan sunnah Nabi, dengan syarat ianya ringkas dan dilakukan sejurus masuk ke masjid.

Jangan takut untuk solat, tapi jangan pula terlebih panjang. Ikutlah petunjuk Rasulullah SAW, nescaya amalan kita lebih tenang, berpahala dan penuh adab.

(Artikel ini diambil daripada laman Facebook Bahagian Dakwah, JAKIM yang diterbitkan pada 25 Julai 2025)

No Comments

    Leave a Reply