Ini replika otak manusia- plastik je
Tapi mesejnya besar
Replika ini tiba sehari sebelum forum Hari Sayyidatina Khadijah setelah banyak hari saya fikir bagaimana nak sampaikan ilmu psikiatri dengan santai tapi sampai ke hati lebih 2000 orang audien.
Saya mulakan dengan satu asas penting:
1. Otak itu merupakan organ dan sangat kompleks.
Sebagaimana kita tahu menjaga kesihatan jantung, paru-paru, buah pinggang dan hati itu wajib, begitu juga dengan otak. Otak bukan sekadar tempat berfikir, ia pusat kawalan seluruh badan: pergerakan, pertuturan, bau, keseimbangan penglihatan, emosi, bahkan pernafasan.
Itulah sebabnya simptom penyakit psikiatri kadang nampak pelik seperti mendengar suara, kelakuan berubah, tidak seperti diri sendiri etc., kerana pusat kawalan itu terganggu.
2. Penyakit mental adalah “real” — bukan rekaan atau ‘lemah iman’.
Simptom penyakit psikiatri di Malaysia lebih kurang sama sahaja seperti di negara-negara lain. Ini bukti bahawa penyakit ini benar-benar wujud dan tidak terbatas kepada kaum, budaya atau bangsa.
3. Apakah maksud kesihatan mental yang baik?
Menurut WHO, individu yang sihat mentalnya akan:
Kenal potensi diri
Mampu hadapi stres dalam kehidupan seharian
Boleh bekerja secara produktif
Menyumbang kepada masyarakat
4. Tanda-tanda penyakit mental secara umumnya apabila:
Simptom berpanjangan
Menjejaskan fungsi hidup — peribadi, sosial, dan pekerjaan.
5. Bidang Psikiatri & Kesihatan Mental menawarkan rawatan secara menyeluruh melalui pendekatan Biopsikososial-Spiritual:
Biologi: Ubat-ubatan yang sesuai
Psikologi: Kaunseling, psikoterapi
Sosial: Sokongan keluarga, rakan, komuniti
Spiritual: Keimanan, makna hidup, amalan rohani dan lain-lain.
Keempat-empat komponen ini saling melengkapi dan penting dalam proses penyembuhan.
6. “Saya nak kaunseling sahaja” — mungkin tidak mencukupi.
Jika penyakit sudah masuk ke tahap tertentu, ubat-ubatan mungkin diperlukan. Saya telah temui pesakit yang awalnya hanya mahu terapi, tetapi selepas diberi rawatan menyeluruh termasuk ubat, mereka lebih cepat pulih. Alhamdulillah.
7. “Saya nak rawatan spiritual sahaja.”
Boleh, tidak ada masalah, akan tetapi mengapa memilih hanya 1 rawatan sedangkan kita boleh ambil keempat-empat komponen serentak? Kita tidak perlu menolak bantuan lain yang Allah juga izinkan untuk kebaikan kita. Kita juga digalakkan menggunakan segala ikhtiar terbaik yang ada, kerana Islam itu syumul.
“الحكمة ضالة المؤمن، أنّى وجدها فهو أحق بها”
Hikmah itu milik orang beriman. Di mana pun dia temui, dia lebih berhak ke atasnya.
9. Tahukah kita — hospital mental pertama dibina oleh umat Islam?
Dibina di Baghdad, tahun 705 Masihi. 600 tahun lebih awal daripada hospital mental di Barat. Ilmu itu dari kita. Kini, teknologi terus berkembang dan ubat-ubatan moden banyak datang dari hasil kajian global. Kita berhak mendapat rawatan terbaik selagi ia tidak bercanggah dengan prinsip Islam.
Kerana rumit & canggihnya fungsi otak, perkembangan kajian terhadap fungsi otak, ubat-ubatan berkenaan, masih lagi berkembang sehingga kini.
Menjaga kesihatan mental itu amanah kerana otak kita adalah organ yang sangat mulia dan kompleks yang memerlukan penjagaan, kefahaman, dan rawatan yang sepatutnya.
“Kesihatan mental untuk semua
“

No Comments