Islam itu syumul. Tidak boleh di-juzukkan (diambil sebahagian dan ditolak sebahagian yang lain) dan tidak boleh difokuskan kepada semata-mata satu aspek kehidupan. Baik Islam semata-mata untuk menuntut ilmu, atau pun Islam semata-mata untuk berpolitik, atau pun Islam semata-mata untuk berdakwah. Semua itu bukanlah dikategorikan sebagai Islam yang syumul melainkan setelah semuanya bergabung dan menyentuh semua skop kehidupan. Sesuai firman Allah:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا ادْخُلُوا فِي السِّلْمِ كَافَّةً وَلَا تَتَّبِعُوا خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ ۚ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُبِينٌ
“Hai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhannya, dan janganlah kamu turut langkah-langkah setan. Sesungguhnya setan itu musuh yang nyata bagimu.” [al-Baqarah: 208]
Oleh hal yang demikian, bagi membangunkan daulah Islamiah ini, pembentukan jemaah adalah perlu lantaran lemahnya seorang insan apabila dia berdakwah seorang diri. Dengan pembentukan jemaah akan membantu memudahkan kerja dakwah tersebut. Seperti firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تُحِلُّوا شَعَائِرَ اللَّهِ وَلَا الشَّهْرَ الْحَرَامَ وَلَا الْهَدْيَ وَلَا الْقَلَائِدَ وَلَا آمِّينَ الْبَيْتَ الْحَرَامَ يَبْتَغُونَ فَضْلًا مِنْ رَبِّهِمْ وَرِضْوَانًا ۚ وَإِذَا حَلَلْتُمْ فَاصْطَادُوا ۚ وَلَا يَجْرِمَنَّكُمْ شَنَآنُ قَوْمٍ أَنْ صَدُّوكُمْ عَنِ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ أَنْ تَعْتَدُوا ۘ وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ ۖ إِنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ
“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu ingat halal membuat sesuka hati mengenai syiar-syiar agama Allah dan mengenai bulan-bulan yang dihormati, dan mengenai binatang-binatang yang dihadiahkan (ke Mekah untuk korban) dan mengenai kalong-kalong binatang hadiah itu dan mengenai orang-orang yang menuju ke Baitullah Al-Haram, yang bertujuan mencari limpah kurnia dari Tuhan mereka (dengan jalan perniagaan) dan mencari keredaanNya (dengan mengerjakan ibadat Haji di Tanah Suci) dan apabila kamu telah selesai dari ihram maka bolehlah kamu berburu dan jangan sekali-kali kebencian kamu kepada suatu kaum kerana mereka pernah menghalangi kamu dari Masjidilharam itu, mendorong kamu menceroboh dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan dan bertakwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya).” [al-Maidah: 2]
Apabila jemaah sudah terbentuk, tidak dinafikan akan wujud individu-individu yang kurang memahami ajaran jemaah. Usah dipandang pada zaman moden, hatta zaman Rasulullah SAW sendiri sudah ada individu seperti ini. Lihatlah Abdullah bin Ubay beserta orang-orang munafiq yang tetap berada di dalam jemaah Islam bersama Rasulullah SAW.
Sedangkan jemaah yang dipimpin oleh Rasulullah SAW sendiri disertai oleh orang yang munafiq, maka adakah kita menyangka akan menemui jemaah Islam yang sempurna tanpa cacat cela? Sedangkan golongan-golongan munafiq tersebut merupakan salah satu ujian Allah SWT terhadap jemaah Rasulullah.
Kenyataan ini tidak bermaksud untuk menyokong jemaah yang salah namun lebih kepada pembetulan fakta yang menyatakan bahawa sekiranya seorang ahli di dalam satu jemaah itu tidak baik, maka sudah tentu jemaah itu tidak baik keseluruhannya. Ini adalah satu kenyataan yang perlu diteliti semula. Di mana akan kita temukan satu kelompok yang sempurna kebaikan ahli-ahlinya? Yang tidak melakukan kesalahan walau sekali pun?
Sedangkan yang sudah kita maklum, antara objektif jemaah adalah untuk membentuk akhlak individu daripada buruk kepada lebih baik. Maka, tidak hairanlah sekiranya terdapat sebahagian individu dalam jemaah yang pada awal penglibatannya dalam jemaah kurang menepati ciri-ciri muslim yang soleh, akhirnya beransur-ansur menjadi lebih baik dengan tarbiah yang diberikan oleh jemaah.
Daripada perkara ini kita akan dapat melihat bahawa dalam setiap jemaah yang wujud sudah tentu akan ada individu yang benar-benar memahami gerakan jemaah, yang kurang memahami dengan tepat dan yang langsung tidak memahami. Setiap jemaah mempunyai tingkatan-tingkatan ahli seperti ini. Perkara ini tidak boleh dinafikan. Sebagaimana iman juga naik dan turun, begitulah hal nya ahli-ahli dalam jemaah. Firman Allah SWT:
إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ الَّذِينَ إِذَا ذُكِرَ اللَّهُ وَجِلَتْ قُلُوبُهُمْ وَإِذَا تُلِيَتْ عَلَيْهِمْ آيَاتُهُ زَادَتْهُمْ إِيمَانًا وَعَلَىٰ رَبِّهِمْ يَتَوَكَّلُونَ
“Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka yang apabila disebut nama Allah (dan sifat-sifatNya) gementarlah hati mereka; dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, menjadikan mereka bertambah iman dan kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah.” [al-Anfal: 2]
Dalil ini menjadi tanda bahawa iman itu boleh bertambah dan berkurangَ ( زَادَتْهُمْ إِيمَانًا – mereka bertambah iman). Justeru, adakah boleh sekiranya kita katakan, lantaran si dia seorang, satu jemaah sudah tentu buruk? Jawab sendiri.
Oleh hal yang demikian, pada hakikatnya, dalam menentukan jemaah tersebut layak untuk disokong bukanlah dengan melihat susuk tubuh individu jemaah tersebut, akan tetapi dengan melihat pembawaan dan dasar yang telah ditekankan oleh jemaah beserta adakah ia benar-benar dilaksanakan atau semata-mata dituturkan di mulut tanpa diketemui zahir perkara tersebut.
Sebagai contoh, terdapat dua jemaah. Sebuah jemaah terdiri daripada golongan muslimin yang menjadikan al-Quran dan as-Sunnah sebagaj dasar gerakan. Sebuah lagi merupakan jemaah muslimin sekular yang menyokong gerakan liberisasi, LGBT dan bermacam-macam lagi kepincangan yang menolak kesyumulan Islam.
Ahli jemaah yang pertama, walaupun didasari dengan al-Quran dan as-Sunnah, tidak terdiri semuanya daripada kalangan pakar atau ilmuan yang mampu menyusun formula-formula pentadbiran. Berbeza dengan ahli jemaah kedua, walaupun didasari dengan sekularisme dan liberalisme, terdiri daripada kalangan pakar-pakar dan ilmuan yang terhebat di dunia.
Manakah yang patut kita sokong? Dalam menilai perkara ini, syariat jauh melampaui akal.
Sekiranya dilihat secara duniawi, sudah tentu jemaah kedua lebih utama. Lantaran pakar-pakarnya mampu menjanjikan pembangunan dan kemajuan yang memberangsangkan. Namun sedarkah kita sekiranya mereka diskong, akan berlaku pengabaian dalam menegakkan kalimah Allah SWT? Akan berlaku penyelewangan dalam syiar Islam? Hal ini kerana mereka tidak menjadikan Islam sebagai dasar, namun lebih mengutamakan materialisme dan kemewahan dalam mengecapi kesenangan dunia. Justeru, kemanakah perginya suruhan Allah yang mengatakan bahawa kita diciptakan untuk mengabdikan diri kepadaNya? Adakah kita sudah cukup berani untuk mengabaikan arahanNya?
Mungkin sahaja akan timbul suara-suara yang akan mengatakan: “Kita majukan negara dulu, Islam tu nanti ada lah.” Sedarkah kita itulah ucapan-ucapan yang diucapkan oleh orang-orang kafir yang terdahulu? Yang tidak lain tidak bukan hanya hendak melambatkan tertegaknya kekuasaan Islam yang sekiranya kita tidak sedar, akhirnya akan turut menghanyutkan kita dengan buaian kemewahan dunia tanpa melakukan suruhan Allah SWT. Meskipun pada awalnya akan maju, namun kerana murka Allah, kemajuan tersebut tidak bernilai. Kemegahan tersebut hanyalah sia-sia. Hanya menunggu masa untuk munculnya masalahmasalah yang mencengkam negara sehinggalah akhirnya negara akan merundum tersembam jatuh ke bumi tidak ke mana. Semuanya kerana mengabaikan Islam sebagai dasar.
Dalam hal ini, kita perlu sedar. Menyokong individu yang melibatkan diri dalam jemaah ini seumpama menyokong dasar jemaah ini iaitu liberalisme dan sekularisme. Hal ini kerana penglibatan seseorang individu atau pimpinan dalam sesebuah jemaah sudah tentulah bertujuan untuk melaksanakan objektif jemaah tersebut. Sama ada baik atau jahat objektif tersebut, semuanya merupakan perancangan yang disumberkan daripada dasar jemaah.
Sekiranya dasar jemaah ialah al-Quran, maka perancangan adalah untuk memartabatkan al-Quran. Sekiranya dasar jemaah adalah liberalisme, maka perancangan jemaah adalah untuk memartabatkan liberalisme. Boleh jadi ahli biasa jemaah tidak melihat perkara ini, namun hakikatnya mereka menjadi bidak catur yang dipergunakan oleh pimpinan atasan jemaah. Sekiranya digunakan untuk tujuan kebaikan alhamdulillah, namun sekiranya digunakan untuk tujuan keburukan, tidakkah kita akan rugi?
Perkara lain yang akan timbul pula ialah akan wujudnya individu muslim yang cuba menerobos jemaah kafir untuk mengislah mereka sedangkan sudah wujud jemaah Islam yang sudah jelas menegakkan Islam. Apa-apa pun perancangan individu seperti ini, sekiranya diniatkan baik, maka kita serahkan urusan mereka kepada Allah SWT. Namun begitu, masyarakat perlu sedar, apabila menyokong individu yang bersama jemaah yang tidak menegakkan Islam, seolah-olah menyokong dasar yang dilaksanakan oleh jemaah tersebut iaitu liberalisme.
Tiada istilah menyokong individu dan bukan jemaah, hal ini kerana individu yang disokong akan melaksanakan tuntutan jemaah. Sedarlah perkara ini. Menyokong individu hakikatnya adalah menyokong jemaah. Adapun apa yang terkandung dalam hati individu-individu seperti ini maka itu adalah urusan mereka dengan Allah SWT.
Maka, kesimpulannya, pilihlah jemaah yang pertama. Pilihlah jemaah yang pertama. Pilihlah jemaah yang pertama. Dalam menimbang perkara ini, akal manusia tidak mampu membatasi tuntutan syariat. Firman Allah SWT:
ٱاللَّهُ وَلِيُّ الَّذِينَ آمَنُوا يُخْرِجُهُمْ مِنَ الظُّلُمَاتِ إِلَى النُّورِ ۖ وَالَّذِينَ كَفَرُوا أَوْلِيَاؤُهُمُ الطَّاغُوتُ يُخْرِجُونَهُمْ مِنَ النُّورِ إِلَى الظُّلُمَاتِ ۗ أُولَٰئِكَ أَصْحَابُ النَّارِ ۖ هُمْ فِيهَا خَالِدُونَ
“Allah Pelindung orang-orang yang beriman; Dia mengeluarkan mereka dari kegelapan (kekafiran) kepada cahaya (iman). Dan orang-orang yang kafir, pelindungpelindungnya ialah setan, yang mengeluarkan mereka dari cahaya kepada kegelapan (kekafiran). Mereka itu adalah penghuni neraka; mereka kekal di dalamnya.” [al-Baqarah: 257]
Meskipun jemaah pertama tidak terdiri dalam kalangan professional, namun Allah SWT menjanjikan itulah yang lebih baik untuk kita. Lantaran mereka mengutamakan Allah, RasulNya dan Islam melebihi urusan-urusan lain. Yakinlah dengan menyokong jemaah yang menjadikan Islam sebagai dasar, akan turun bantuan daripada Allah SWT dan akan turun berkat daripadaNya. Bumi akan subur mengeluarkan hasil.
Para ulama dan umarak lahir umpama cendawan tumbuh selepas hujan. Para remaja menjadi lebih berakhlak. Masalah sosial berkurangan. Kemajuan negara akan semakin meningkat seiring dengan peningkatan sahsiah dan rohani rakyat. Semuanya kerana Allah meredhai mereka dan menyayangi mereka. Lantas, jadilah negara itu seperti yang difirmankan oleh Allah SWT:
لَقَدْ كَانَ لِسَبَإٍ فِي مَسْكَنِهِمْ آيَةٌ ۖ جَنَّتَانِ عَنْ يَمِينٍ وَشِمَالٍ ۖ كُلُوا مِنْ رِزْقِ رَبِّكُمْ وَاشْكُرُوا لَهُ ۚ بَلْدَةٌ طَيِّبَةٌ وَرَبٌّ غَفُورٌ
“Demi sesungguhnya, adalah bagi penduduk negeri Saba´, satu tanda (yang membuktikan kemurahan Allah) yang terdapat di tempat tinggal mereka, iaitu: Dua kumpulan kebun (yang luas lagi subur), yang terletak di sebelah kanan dan di sebelah kiri (kampung mereka). (Lalu dikatakan kepada mereka): Makanlah dari rezeki pemberian Tuhan kamu dan bersyukurlah kepadaNya; (negeri kamu ini adalah) negeri yang baik (aman dan makmur) dan (Tuhan kamu adalah) Tuhan Yang Maha Pengampun.” [Saba’: 15]
Negara Saba’, lantaran patuh kepada suruhan Allah SWT, menjadi negara yang maju dan diberkati. Negara Saba’ merupakan salah satu bukti sokongan Allah kepada kerajaan yang mengamalkan sistem Islam secara syumul.
Oleh hal yang demikian negara yang terbina oleh jemaah pertama yang pada awalnya mungkin kurang maju, namun lantaran mereka melaksanakan dasar-dasar Islam, berdiri gah dan teguh menjadi contoh kepada negara-negara lain daripada sudut sosial, akhlak, kemajuan, ekonomi dan pelbagai perkara lagi. Semuanya membangun kerana mereka mengikut dasar Islam yang sudah dijanjikan oleh Allah akan memberikan kejayaan kepada kita. Sekali lagi diulang, dalam menimbang perkara ini, syariat perlu diutamakan berbanding akal.
Namun begitu, kita perlu sedar, dalam membentuk daulah Islamiah, sudah tentulah akan menerima tentangan daripada orang-orang yang zalim. Jalan ini tidak mudah. Allah akan uji untuk melihat keikhlasan kita. Sekiranya mudah, nescaya akan ramai lah yang mengikuti jalan ini. Firman Allah SWT:
لَوْ كَانَ عَرَضًا قَرِيبًا وَسَفَرًا قَاصِدًا لَاتَّبَعُوكَ وَلَٰكِنْ بَعُدَتْ عَلَيْهِمُ الشُّقَّةُ ۚ وَسَيَحْلِفُونَ بِاللَّهِ لَوِ اسْتَطَعْنَا لَخَرَجْنَا مَعَكُمْ يُهْلِكُونَ أَنْفُسَهُمْ وَاللَّهُ يَعْلَمُ إِنَّهُمْ لَكَاذِبُونَ
“Kalau apa yang engkau serukan kepada mereka (wahai Muhammad) sesuatu yang berfaedah yang sudah didapati dan satu perjalanan yang sederhana (tidak begitu jauh), nescaya mereka (yang munafik itu) akan mengikutmu; tetapi tempat yang hendak dituju itu jauh bagi mereka dan mereka akan bersumpah dengan nama Allah dengan berkata: Kalau kami sanggup, tentulah kami akan pergi bersama kamu. (Dengan sumpah dusta itu) mereka membinasakan diri mereka sendiri, sedang Allah mengetahui bahawa sesungguhnya mereka itu orang-orang yang berdusta (tentang tidak sanggupnya mengikutmu).” [at-Taubah: 42]
Dalam menelusuri perjuangan ini, ramai akan gugur dan teruji. Sama-samalah kita saling menguatkan sesama kita semoga terus istiqamah demi mencapai keredhaan Allah SWT.
Sebelum mengakhiri penulisan ini, suka untuk penulis nyatakan, perkara-perkara di atas hanyalah huraian dan contoh-contoh semata. Hakikatnya, ada jemaah Islam yang tegas mempertahankan Islam, ditunjangi oleh para Ulama dan Umarak yang tersohor, didokong oleh golongan professional dan pakar yang mampu mencanai formula-formula kemajuan, didasari dengan ajaran al-Quran dan as-Sunnah yang syumul. Tidak pernah putus melaksanakan kebajikan, dakwah, amar makruf nahi mungkar dan menegakkan kalimah Allah. Tidak pernah tinggal tarbiah jasadiah dan rohaniah demi untuk berbakti dan berkorban untuk agama Allah. Jemaah ini sudah bertapak di Malaysia. Carilah jemaah tersebut!
Semoga penulisan ini sedikit sebanyak dapat membuka mata sahabat-sahabat kita yang kita sayangi, yang mungkin masih kurang memahami perkara ini. Kami menyayangi kamu kerana Islam. Kami berdakwah kepadamu kerana kita sama-sama Islam. Semoga kita diberikan hidayah untuk dapat melihat jalan yang lurus seterusnya diberikan kekuatan untuk istiqamah dan kekal bersama jemaah Islam.
Islam itu syumul. Janji Allah itu pasti. Sokonglah parti Islam. Kejayaan akan menanti!
No Comments