Pembangunan Diri

TMK 2025: Pelancongan Sebagai Kemajuan Ekonomi dan Sosial Kedah

Seiring dengan matlamat TMK 2025, pelancongan bukan sahaja menjadi sumber hasil negeri, tetapi juga membuka peluang pekerjaan yang luas kepada rakyat Kedah. Penekanan yang diberikan kepada sektor pelancongan sebagai pertumbuhan pekerjaan ini menggariskan potensi besar yang dimiliki oleh negeri dalam menarik pelancong, baik dari segi domestik mahupun antarabangsa.

Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Keusahawanan negeri, Datuk Mohd Salleh Saidin berkata dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) baru-baru ni bahawa promosi TMK 2025 sedang giat dijalankan oleh kerajaan negeri dengan kerjasama Kedah Tourism Sdn Bhd serta beberapa agensi lain bagi menarik kehadiran lebih ramai pelancong ke negeri ini.

Oleh demikian, Kerajaan negeri menyasarkan kemasukan 6.9 juta pelancong sepanjang tahun ini sempena TMK 2025 dengan peningkatan sebanyak 35 peratus berbanding 5.2 juta pelancong yang direkodkan tahun lalu.

Kempen TMK juga giat dipromosikan bukan sahaja meningkatkan jumlah pelancong, malah memberi impak positif kepada ekonomi penduduk setempat di seluruh negeri. Menurutnya lagi, TMK 2025 berpaksikan kepada lima komponen utama, iaitu sumber alam semula jadi, gastronomi, seni, budaya dan sejarah, sebagai asas memperkenalkan keunikan Kedah kepada pelancong dari dalam dan luar negara.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perladangan dan Pengangkutan Kedah, YB Dzowahir Abd Ghani menyatakan dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) juga bahawa kajian teliti sedang diusahakan bagi keperluan penubuhan syarikat feri milik kerajaan negeri dari sudut kos operasi, daya saing komersial, urusan dan sokongan teknikal.

Selain itu, antara yang penting dalam strategi pelancongan Kedah adalah pemeliharaan dan pengembangan warisan tempatan. Keistimewaan Tamadun Kedah Tua yang kini sedang dalam proses pencalonan sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO boleh membuka peluang besar untuk menjadikan warisan sejarah dan pendidikan sebagai elemen pelancongan yang menguntungkan.

Satu aspek penting penekanan dalam TMK 2025 juga adalah kepada nilai Islam yang terkandung dalam sejarah Kedah juga menarik pelancong yang ingin memahami lebih dalam mengenai tamadun ini. Produk pelancongan yang berasaskan warisan, seperti Tapak Arkeologi Sungai Batu dilihat sebagai aset yang bukan sahaja dipelihara, tetapi juga dijadikan sebagai tarikan utama dalam industri pelancongan Kedah.

Kerajaan Negeri Kedah juga sedang mengambil inisiatif untuk mewujudkan pengalaman pelancongan yang mempunyai identiti tempatan dimana ianya menggabungkan unsur keindahan alam, budaya, dan sejarah. Inisiatif seperti pelancongan desa dan eko pelancongan juga boleh menawarkan pengalaman yang lebih mendalam kepada pelancong, serta membolehkan masyarakat tempatan terlibat dalam aktiviti pelancongan.

Seterusnya, Konsep “Iftar Experience Kedah” yang diperkenalkan semasa bulan Ramadan baru-baru ini adalah contoh usaha kreatif yang menggabungkan tradisi budaya tempatan dengan pengalaman melihat keindahan Masjid Zahir yang dibina pada tahun 1912 merupakan satu pelancongan yang unik dan tidak dapat ditemui di tempat lain.

Oleh itu, keterlibatan masyarakat setempat dalam sektor pelancongan menjadi faktor penting dalam memastikan kelestarian industri ini. TMK 2025 bukan hanya bergantung kepada promosi dan infrastruktur yang baik, tetapi juga kepada peranan aktif komuniti dalam memelihara keaslian serta nilai-nilai budaya yang terkandung dalam setiap destinasi pelancongan. Pendekatan komuniti yang terlibat secara langsung akan memberi kesan positif kepada daya tarikan pelancongan dan membantu menjamin bahawa setiap pengalaman yang ditawarkan tetap relevan dan berdaya saing.

Perlu diingatkan bahawa TMK 2025 adalah peluang bagi Kedah untuk muncul sebagai negeri yang lebih mandiri, bermartabat, berpaksikan potensi dan kekayaan warisan negeri sendiri. Dalam jangka panjang, pelancongan dijangka menjadi salah satu pemangkin utama dalam transformasi ekonomi negeri, di samping memperkasa identiti Kedah sebagai destinasi pelancongan yang bukan sahaja menawarkan keindahan alam tetapi juga pengalaman dan nilai yang mendalam.

Sebagai penutup, TMK 2025 adalah langkah penting dalam menjadikan Kedah sebagai destinasi pelancongan utama yang tidak hanya berfokus pada tawaran destinasi, tetapi juga pengalaman berharga yang memaparkan kekayaan warisan dan budaya Kedah yang unik. Dalam konteks ini, pelancongan bukan hanya berfungsi sebagai enjin ekonomi, tetapi juga sebagai alat untuk memperteguh jati diri dan keberadaan Kedah di pentas dunia.

(Artikel ini diambil daripada laman facebook rasmi Yayasan Kedah Sejahtera yang diterbitkan pada 30 April 2025.)

No Comments

    Leave a Reply