Keluarga

Memanfaatkan Bulan Ramadan bersama Keluarga

Pejam celik pejam celik sudah genap 25 hari kita menjalani ibadah puasa di bulan Ramadan. Sungguh pantas masa berlalu. Sudah hampir dua bulan juga kita telah menjalani tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) kerana penularan wabak pandemik COVID-19. (Artikel ini ditulis pada tahun 2021)

Siapa sangka suasana Ramadan kali ini cukup terasa perbezaannya berbanding Ramadan sebelum ini. Tahun sebelum ini, masjid-masjid menjadi meriah dengan kehadiran jemaah untuk berbuka puasa dan solat terawih. Namun, kali ini segala aktiviti pengumpulan atau perhimpunan tidak dibenarkan dan hanya memanfaatkan lebih banyak masa di rumah masing-masing dengan saranan Stay At Home.

Sebenarnya Ramadan versi PKP ini adakah peluang terbaik untuk memanfaatkan masa bersama ahli keluarga tersayang. Pelbagai aktiviti bermanfaat sepanjang bulan Ramadan boleh dirancang dan dilaksanakan bersama ahli keluarga. Sudah tentu kelebihannya dapat menambah keterikatan hubungan silaturrahim antara sesama ahli keluarga. Selama ini mungkin kita kurang masa bersama, namun hikmah disebalik ujian COVID-19 ini memberi peluang untuk setiap keluarga menjalin kembali ikatan mesra disamping berada di bulan penuh barakah iaitu bulan Ramadan.

ANTARA AKTIVITI BERMANFAAT SEPANJANG BULAN RAMADAN :

SOLAT TERAWIH BERJEMAAH.

Antara keistimewaan Bulan Ramadan adalah ibadah solat sunat terawih. Ia tidak ada pada bulan yang lain. Melaksanakan ibadah secara berjemaah bersama keluarga terutama solat mampu mengikat kebersamaan hati. Mungkin sebelum ini ada berlaku perselisihan antara ahli keluarga, asbab melaksanakan solat terawih berjemaah, kita mampu berdamai malah menambah rasa kasih sayang sesama ahli keluarga.

MENGAJI DAN TADARUS AL QURAN.

Masih tidak terlewat untuk kita dan ahli keluarga mengejar keberkatan di bulan Ramadan dengan memperbanyak amalan seperti membaca Al Quran. Sebagaimana kita tahu, pada bulan Ramadan akan dilipat gandakan setiap amalan yang dilakukan berbanding pada bulan lain. Oleh itu, aktiviti mengaji dengan mendengar dan menyemak bacaan Al Quran bersama ahli keluarga antara aktiviti yang bermanfaat untuk dilakukan sepanjang bulan Ramadan. Kita boleh susun waktu tertentu seperti selepas subuh sehingga waktu dhuha untuk melaksanakan aktiviti ini. Disamping mengelakkan amalan tidur selepas subuh atau tidur sepanjang hari di bulan puasa ini.

MENYEDIAKAN JUADAH BERBUKA PUASA.

Ramadan kali ini cukup berbeza kemeriahan dan sambutannya. Sepanjang bulan Ramadan sebelum ini kebiasaannya kita akan mengunjungi bazar Ramadan yang wujud serata tempat di seluruh Malaysia. Sudah pasti ia satu satu nikmat yang sudah ditarik Allah buat sementara ini. Lantaran kita perlu mematuhi perintah kerajaan bagi menghentikan sebarang aktiviti pengumpulan untuk memutuskan rantaian COVID-19 ini. Oleh kerana itu, saranan berada di rumah (Stay At Home) terutama sepanjang bulan Ramadan ini telah membuka peluang untuk menambah aktiviti bersama ahli keluarga iaitu menyediakan juadah berbuka bersama. Disini anak boleh ambil peluang berguru bersama ibu untuk mencuba pelbagai resepi turun temurun misalnya. Tidak lupa juga pasangan suami isteri boleh saling membantu memasak untuk menjamu atau bertukar juadah bersama jiran tetangga dan ahli keluarga terdekat untuk mengeratkan hubungan silaturrahim.

Kesimpulannya, biarpun kita meraikan Ramadan kali ini dengan sedikit perbezaan berbanding kebiasaan sebelum ini, kita hendaklah menjadi manusia yang bijak mengambil peluang di dalam kesempatan Ramadan kali ini. Terutama peluang memanfaatkan masa bersama ahli keluarga yang tercinta. Ahli keluarga merupakan anugerah yang Allah berikan kepada kita di dunia ini. Setiap orang pasti punya kesempatan merasai kehidupan berkeluarga.

Jadikanlah Ramadan ini sebagai platform membina kekuatan hubungan dan menambah kasih sayang sesama ahli keluarga. Manfaatkan tempoh Ramadan yang berbaki ini untuk saling mendidik diri dan keluarga dengan kebaikan serta keberkatan yang hadir hanya dalam bulan ini. Alangkah ruginya jika berlalu Ramadan ini kelak tanpa memperoleh sesuatu kebaikan daripadanya. Semoga Allah berkati kita serta ahli keluarga semua hendakNYA.

[Segmen Suri Hati]

No Comments

    Leave a Reply