Sebenarnya remaja lelaki antara kumpulan yang jarang juga saya rapat berbanding dengan remaja perempuan. Mungkin sebab faktor berlainan jantina.
Jumpa pun waktu program sahaja. Rugi kalau saya tak ambil peluang membebel sebagai seorang “kakak”. Gambar ni tahun lepas punya.
1. Nasihat paling asas, jaga solat dan berusaha untuk solat berjemaah di masjid/surau setiap waktu.
2. Cari sahabat yang baik. Saya difahamkan cara persahabatan lelaki dan perempuan berbeza. Dan sedikit sebanyak sahabat mempengaruhi dan melambangkan siapa kita.
3. Cari suasana yang baik. Walaupun dibesarkan dalam keluarga yang baik, tetap juga ada pengaruh suasana. Sama macam pengaruh sahabat.
4. Kenali tanggungjawab sebagai seorang lelaki. Kena tahu dan hadam apa dan bagaimana peranan lelaki dalam keluarga dan masyarakat.
5. Belajar pengurusan diri, kekemasan diri dan penampilan diri. Imej sebagai seorang lelaki ni penting. Biar kemas dan berketerampilan. Pengurusan diri termasuklah belajar membuat kerja-kerja rumah.
6. Tak perlu susah-susah cari teman wanita di usia remaja. Ketika usia begini, kalian belum matang nak menggalas tugas sebagai suami. Jangan rugikan usia begini dengan cinta monyet.
7. Berusahalah untuk kehadapan berbanding dengan perempuan walaupun nampak jumlah kalian sedikit.
Tunjukkan qudwah bahawa lelaki merupakan pemimpin kepada kaum perempuan. Jangan mengalah sampai kebelakang. Paling asas, kalau masuk kelas, kalian duduk di hadapan.
8. Jaga, pelihara dan lindungi mahram perempuan. Jika perlu menegur, berhikmahlah dalam menegur dan mendidik adik perempuan, kakak, ibu atau ahli keluarga tentang aurat atau hal-hal agama yang lain.
Di samping itu, boleh belajar juga untuk hargai dan hormat kepada kaum wanita. Perlu faham selok belok perempuan. Contohnya ibu akan bebel kalau penat. Bantulah ibu buat kerja rumah. Kakak tak suka kalian duduk atas tudung, jangan duduk ! Okay gurau.
9. Jangan malas untuk melakukan pekerjaan yang melibatkan fizikal. Ini kekuatan kaum lelaki yang kurang pada kaum wanita. Qudrat ini yang menggambarkan besarnya tanggungjawab seorang lelaki.
Alang-alang boleh belajar untuk asah kemahiran seperti kemahiran bertukang, baiki paip, menyelenggara kenderaan dan sebagainya. Kemahiran ni berguna untuk masa depan.
10. Azamkan dari remaja yang kalian merupakan bakal pengganti barisan pemuda-pemuda untuk bawa agenda Islam. Jadi tindakan juga perlu seiring dengan niat. Agama ini amanah untuk kita jaga dan perjuangkan.
Catatan :
Tidaklah saya bias pada mana-mana jantina. Untuk remaja perempuan, pun ada rentak nasihat yang tersendiri.
Dan tidaklah kesepuluh nasihat ini saya bicarakan sekaligus. Saya hanya kumpulkan nasihat-nasihat dari pelbagai program yang saya sertai. Dan ada banyak lagi nasihat yang boleh diselitkan lagi.
Saya selalu denda peserta lelaki di program. Jadi saya terimbas kembali. Kah. -Ain Nisrina.

No Comments