Pendidikan

Bajet Kedah 2025: Memperkasa Usahawan Wanita Luar Bandar Kedah

Wanita telah lama memainkan peranan penting dalam struktur sosial dan ekonomi masyarakat, khususnya di luar bandar.

Walaupun tradisi sering memposisikan mereka sebagai suri rumah tangga, perubahan zaman telah menyaksikan wanita kini menjadi tunjang dalam memacu ekonomi keluarga melalui keusahawanan.

Pada zaman moden ini, semakin ramai wanita melibatkan diri dalam dunia perniagaan bagi membantu ekonomi keluarga.

Baru-baru ini dalam pembentangan Bajet Kedah 2025 oleh YAB Menteri Besar Kedah telah mengumumkan peruntukan sebanyak RM500 ribu bagi program Usahanita Negeri Kedah.

Peruntukan ini bertujuan untuk membantu usahawan wanita yang bersungguh-sungguh ingin memajukan perniagaan yang mereka jalankan secara kecil-kecilan bagi membantu ekonomi keluarga.

Melalui Tabung Usahawan Wanita Sejahtera (TUWS), lebih daripada 2,800 wanita telah menerima bantuan modal sejak tahun 2020 hingga 2024.

Melalui peruntukan ini, Kerajaan Negeri Kedah komited untuk melahirkan lebih ramai lagi Kak Nab dan Cik Puan Gojes pada masa akan datang.

Kak Nab dan Cik Puan Gojes adalah ikon usahawan kelahiran anak Kedah yang telah berjaya membina legasi perniagaan masing-masing pada usia yang muda.

Walaupun data ini menunjukkan usaha yang signifikan, beberapa isu utama masih wujud yang perlu ditangani dalam usaha melahirkan usahawan wanita di Kedah terutama wanita luar bandar.

Pertama, kerajaan perlu untuk memastikan penyaluran bantuan kepada usahawan wanita sampai kepada mereka yang berada di kawasan luar bandar dan pendalaman.

Selain itu, dalam membantu wanita bangkit menjana ekonomi melalui keusahawanan, bantuan kewangan sahaja tidak mencukupi untuk membina usahawan yang berjaya.

Keperluan mereka jauh lebih luas, termasuk bimbingan perniagaan, latihan kemahiran, dan sokongan untuk memasarkan produk mereka.

Wanita luar bandar berdepan dengan pelbagai kekangan, termasuk tanggungjawab keluarga yang berat dan akses terhad kepada peluang pendidikan.

Ramai dalam kalangan wanita luar bandar terpaksa bekerja dalam perniagaan kecil-kecilan seperti menjual kuih-muih, hasil tani, makanan tradisional dan lain-lain.

Malangnya, kebanyakan perniagaan ini bergantung kepada permintaan tempatan yang terhad, menjadikannya sukar untuk berkembang.

Tambahan pula, usahawan luar bandar masih lagi kurang kefahaman tentang strategi pemasaran dan pengurusan kewangan.

Sebagai contoh, seorang wanita yang menghasilkan keropok tradisional mungkin tidak tahu bagaimana untuk memasarkan produknya di platform e-dagang seperti Tiktok, Shopee atau Lazada.

Di sinilah pentingnya peranan kerajaan negeri dan pihak berkepentingan lain untuk memperkasakan mereka dengan ilmu dan sokongan yang bersesuaian.

Oleh itu satu langkah penting yang boleh dilaksanakan kerajaan ialah pelaksanaan program “mentorship” secara bersiri.

Dalam program ini, wanita yang berjaya dalam keusahawanan, seperti ikon tempatan “Kak Nab” dan “Cik Puan Gojes,” boleh berkongsi pengalaman dan menjadi pembimbing kepada usahawan baharu bermula dari bawah hingga berjaya membawa keuntungan kepada perniagaan peserta.

Pendekatan ini bukan sahaja memberi inspirasi tetapi juga menyediakan panduan praktikal berdasarkan pengalaman sebenar.

Tambahan pula, keberkesanan mana-mana inisiatif bergantung kepada tahap pemantauan dan penilaiannya.

Laporan berkala dan lawatan ke tapak perniagaan penerima bantuan boleh menjadi mekanisme untuk menilai impak bantuan.

Langkah ini juga boleh membantu mengenal pasti masalah yang dihadapi oleh penerima dan memberi penyelesaian yang lebih bersasar.

Kesimpulannya, wanita luar bandar di Kedah mempunyai potensi besar untuk menjadi pemacu ekonomi negeri jika diberikan sokongan yang tepat. Inisiatif seperti Usahanita Negeri Kedah adalah langkah yang baik, tetapi ia perlu disertai dengan pendekatan lebih komprehensif.

Dengan memberi tumpuan kepada latihan dan mentorship, kerajaan negeri boleh membantu wanita luar bandar bukan sahaja keluar daripada kemiskinan tetapi juga menjadi penyumbang utama kepada ekonomi negeri.

No Comments

    Leave a Reply