Agama / Pembangunan Diri

Qada Solat Fardu: Shari’ie atau Tidak?

Saya teringat di masjidil haram pernah berbahas dengan seorang perempuan Arab di masjid. Beliau menyatakan tidak ada solat qada atas alasan Nabi SAW tidak pernah menunaikan solat qada. Apabila situasi ini dijadikan hujah syarienya, saya malas nak membahas panjang. Mudah sungguh membuat hukum jika “Nabi tak buat” dijadikan dalil. Tidak perlu bahas panjang. Bab apa dalam kitab usul fiqh pun, saya tidak pasti.

Dalam kelas, qada solat dibincangkan daripada pelbagai kes furuk yang dibahaskan. Seseorang datang meminta fatwa tentang solat-solat wajibnya yang telah luput perlu diqada atau tidak.

Sheikh menyatakan bahawa terdapat dua pendapat yang mewajibkan dan tidak. Ia termasuk dalam bab usul fiqh di bawah tajuk “adak” (menunaikan) dan “qada” (menggantikan) ibadah. Ibadah yang telah luput masa perlu diganti atau tidak. Adakah perintah “aqimussolah” kewajipan mendirikan solah termasuk perintah “qada” solat yang luput?

Maka khilaf ulama bergantung pada perbahasan ini. Yang mewajibkan menyatakan perintah qada solat termasuk dalam perintah menunaikan solat dan pendapat yang tiada qada solat kerana qada solat tidak termasuk dalam perintah aqimu solah.

Dan beberapa hujah lain yang cukup panjang.

Ala kulli halin, Sheikh mentarjihkan pandangan yang menyatakan perlu qada solat yang telah luput berasaskan kaedah i’mal shay lebih baik dari ihmal syay. Melaksanakan sesuatu perintah itu lebih baik dari meninggalkan perintah.

Malah bukan sekadar solat wajib, qada solat sunat juga termasuk dalam perbahasan dengan panjang lebar. Ini dalam kitab fekah muqaran kami tahun satu kuliah dahulu.

Membuat hukum bukan sekadar “Nabi tidak pernah buat” dijadikan hujah untuk semua masalah fatwa.

No Comments

    Leave a Reply