Cerpen

Muslimah! Inilah perjuanganmu

Dia tersenyum..

Saat ditanya apa yang disibukkan?

Kesana – kesini hampir berlari-lari,

Apa yang kau kejari?

Wajah muram itu terus cuba mengukir senyum,

Saat sindiran menerpa telinga,

Dibilang eh, engkau itu wanita!

Jangan berlagak menjadi pewira,

Kononnya menegak ummah yang parah dihina.

Terus dihina,

senyuman kelat masih cuba dibina,

‘Pejuang agama, dibilang ‘penunggang’ agama!

Hanya dek kerana nila setitik,

Tempias merebak, turut terbidas kepada dia yang ikhlas.

Senyuman manis terus diukir,

Saat disindir berapa imbuhan sibuk berdakwah, hingga diri sanggup dipamer?

Dibilang mudahnya kau mencuri simpati dunia,

Difitnah munafik mahu diri dipandang mulia.

Luka itu pedih,

Cuma tidak ketemu cara untuk menangis,

Ya..

Aku muslimah itu,

Saat maruah wanita dicarik semahunya,

Aku marah, lantas bangun bersuara!

Dulu,engkau wanita! boleh berdiam menyembunyi diri,

Ummah dan kaummu hilang harga diri,

Ada engkau peduli?

Jika dunia ganjaran dicari,

Boleh saja wanita ini diamkan diri,

Disuap supaya diam, urusan ummah jangan kau campuri.

Jika kemegahan yang menjadi tujuan hati,

Boleh saja wanita ini membina setinggi kerjaya,

Mengumpul kepukan harta,

Menjadi tali barut kezaliman yang berkuasa.

Jika pengorbanan jiwa raga sepenuh masa ini bukanlah untuk Ilahi,

Akulah wanita pertama mengasing diri,

Buat apa mahu sibuk mengejar ganjaran yang tidak pasti?

Lantang bersuara mengalahkan menteri,

Sedangkan tiada siapa mahu simpati.

Dilempar cemuhan, dikata murah promosi diri.

Wahai wanita yang digelar perhiasan dunia..

Hiasan itu mahal dan perlu dipelihara..

Tapi mahukah kau biarkan dunia merobek hiasan kaummu yang bersaudara?

Hiasan yang sepatutnya diangkat tinggi,

Kini maruahnya murah dicabuli.

Duhai srikandi mujahidah..

Turutlah sabar berjuang dijalan ini,

Aku tahu liku ini payah,

Selalu saja tersusuk duri mengalir darah.

Tapi..

Kita perlu kuat walau dipandang lemah,

Kita takkan kalah selagi ada Allah.

Impikan kau dan aku menggapai mardhatilah.

Muslimah! Inilah perjuanganmu.

Darimu penyambung generasi,

Hebat atau mundur generasi pembawa legasi,

Semua bergantung apa yang engkau perjuangkan ketika ini.

No Comments

    Leave a Reply