Jika sesaat masa itu dinilai bersamaan 1 gram emas, bayangkan berapa nilai masa untuk 24 jam?
Setiap saat yang kita lepaskan dari masa dan umur kita, apakah ganti atau bayarannya?
Cukupkah 1 jam (nilai emas RM250x60x60 = RM900,000.00) masa kita berbayar RM100.00?
Ya, bagaimana boleh dibayangkan aset (1 jam) bernilai RM1 juta dilepaskan pegangan dengan nilai ganti tunai hanya RM100.00 gaji pekerjaan harian kita?
Itulah masa.
“Demi masa! Demi sesungguhnya manusia itu dalam kerugian penuh.” [Al Asr: 1-2]
Sesungguhnya tiada yang dapat membeli masa kurniaan Allah kepada kita itu kecuali Allah sendiri. Dialah Allah SWT, Tuhan yang Maha Kaya dan Maha Pemurah. Dia memberi dan Dia-lah jua yang membelinya kembali daripada kita untuk pemberian seterusnya yang lebih baik lagi.
“Sesungguhnya Allah telah membeli daripada daripada orang-orang beriman itu akan diri dan harta mereka, bahawa (diganti) untuk mereka dengan (bayaran) syurga..” – Surah At Taubah:111
Bagaimana berdagang dengan Allah SWT?
Ya, dengan mengisi masa kita dengan iman dan amal soleh. Setiap saat kita hidup dalam zikrullah.
“Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh dan saling berpesan-pesan dengan kebenaran dan saling berpesan-pesan dengan kesabaran.” [Al Asr: 3]
Dan kemuncaknya adalah amal jihad di jalan Allah SWT.
“Mereka berperang di jalan Allah, lalu mereka membunuh (musuh Allah) dan mereka pula dibunuh (syahid)..” [At Taubah: 111]
“Wahai orang-orang yang beriman, tidakkah kamu mahu Aku tunjukkan kepada kamu satu perniagaan (besar) yang akan membebaskan kamu daripada azab neraka yang amat pedih? (Iaitu) Kamu beriman dengan Allah dan Rasul-Nya dan kamu berjuang di jalan Allah dengan harta dan nyawa kamu..” [Al Saf: 11]
Masa adalah emas. Mari menjualnya dengan nilai sebuah mahligai kebahagiaan di tanah syurga Allah SWT. Selainnya adalah kerugian yang nyata.
Ingatlah sentiasa bahawa sesungguhnya kebanyakan manusia hidup dalam kerugiaan dengan melepaskan aset masa hidupnya dengan membeli dunia yang tiada nilainya di sisi Allah. Masa jauh lebih berharga daripada dunia ini.
Masa kita adalah untuk akhirat kita. Dunia ini hanyalah tempat berladang dan berdagang.
“Wahai orang-orang yang beriman, ingatilah Allah (dengan hati dan lidah) dengan ingatan yang banyak dan bertasbihlah menyucikan-Nya pada sebelah pagi dan petang.” [Al Ahzab: 41]

No Comments